KUALA LUMPUR: Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (Semantan Estate) telah memfailkan saman antara lain menuntut mahkamah mengeluarkan perintah agar Kerajaan Malaysia menjual tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta dikenali sebagai Duta Enclave.
Semantan Estate yang kini dalam proses penggulungan secara sukarela dan pelikuidasinya, Dr Jim Lai Chee Chuen selaku plaintif turut memohon agar hasil jualan tersebut diberikan kepada syarikat terbabit yang mempunyai kepentingan benefisial terhadap tanah itu.
Tanah yang dipertikaikan terletak di lokasi utama Jalan Duta (turut dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Saman tersebut difailkan pada 8 Oktober lalu melalui firma guaman, Messrs AG Kalidas Doris & Nada di Mahkamah Tinggi di sini. Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Anand Ponnudurai pada 3 November ini.
Plaintif menamakan Kerajaan Malaysia, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, Menteri yang diberi tanggung jawab bagi tanah di Wilayah Persekutuan, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian, Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Pendaftar Hakmilik (Wilayah Persekutuan) sebagai defendan pertama hingga ketujuh.
Sehingga kini, isu pampasan dan keuntungan mesne mengenai pengambilan tanah tersebut masih belum diselesaikan.
Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Duta Enclave kekal menjadi milik Kerajaan dan tidak boleh dipertikaikan namun perlu membayar pampasan dan keuntungan mesne atas pencerobohan sejak 1956 yang dinilai Mahkamah Tinggi berdasarkan nilai tanah pada 3 Disember 1956.
Keuntungan mesne adalah ganti rugi yang perlu dibayar kepada pemilik sah harta oleh seseorang yang mendudukinya tanpa kebenaran.
Tuntutan keuntungan mesne telah didengar di hadapan Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, yang kemudiannya dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan. Sementara itu, prosiding pampasan bagi pengambilan tanah pada 1956 dikendalikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Roslan Mat Nor.
Semantan Estate dilaporkan menuntut antara RM3 bilion hingga RM12 bilion sebagai keuntungan mesne bagi kehilangan pendapatan sewa antara 1956 hingga 2021, berbanding penilaian kerajaan yang hanya berjumlah RM290 juta.
Menurut penyata tuntutan yang difailkan, plaintif menyatakan, berdasarkan keputusan mahkamah sebelum ini yang mengesahkan bahawa mereka merupakan pemilik benefisial Duta Enclave, Kerajaan adalah pemegang amanah bagi Semantan Estate.
Oleh itu, plaintif menyatakan mereka berhak untuk menjalankan kesemua hak dan menikmati kesemua remedi bagi seorang pemilik benefisial tanah terhadap Kerajaan sebagai pemegang amanah sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang dan ekuiti.
Pada 3 Julai lalu, plaintif telah menghantar surat kepada Peguam Negara dan Kementerian Kewangan antara lain menuntut Kerajaan bersetuju secara prinsip untuk menjual Duta Enclave dan memberikan akaun bagi hasil jualan kepada Semantan Estate.
Plaintif turut menuntut agar atau perbincangan mengenai penjualan itu diadakan di antara kedua-dua pihak bagi membolehkan jualan tersebut dijalankan dan hasil jualan diserahkan kepada Semantan Estate sebagai pemilik benefisial dengan secepat mungkin.
Bagaimanapun Kerajaan dan Kementerian Kewangan tidak memberikan maklum balas sewajarnya walaupun mengesahkan telah menerima surat berkenaan.
Sehubungan itu, plaintif antara lain memohon satu deklarasi bahawa Kerajaan adalah pemegang amanah tanah Duta Enclave bagi pihak Semantan Estate dan perintah agar Kerajaan menjual atau bersetuju untuk menjual tanah tersebut.
Turut dipohon ialah satu perintah supaya Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (defendan kedua) menyiapkan segala dokumen berkaitan bagi membolehkan jualan tersebut dijalankan dan perintah supaya Kerajaan menyerahkan akaun hasil jualan tanah selepas ditolak item-item yang patut berikan kepada Semantan Estate.
Secara alternatifnya, Semantan Estate turut memohon pampasan yang adil (equitable compensation), ganti rugi bagi pelanggaran hak-hak plaintif dan perintah bagi pembayaran kepada plaintif pertama secara restitusi atau akaun setakat perkayaan tidak adil (unjust enrichment) oleh Kerajaan. – UTUSAN











