GUA MUSANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memasang jambatan Bailey bagi memulihkan akses Jalan Gua Musang-Kota Bharu (FT08) yang ditutup sepenuhnya susulan kejadian lubang benam berhampiran Taman Rekreasi Etnobotani Kesedar di sini semalam.
Menurut satu kenyataan media yang dimuat naik di laman sosial JKR Gua Musang Kelantan hari ini memaklumkan, kerja pemasangan jambatan itu akan bermula pada 14 Oktober ini dan mengambil masa kira-kira seminggu untuk disiapkan.
Katanya, bagaimanapun ia tertakluk kepada kestabilan tanah serta keadaan keselamatan di tapak.
“JKR akan terus memantau keadaan di lokasi dan mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang pelaksanaan kerja.
“Pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu melalui Gua Musang dan arah bertentangan dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui FT2747, Jalan Pulai-Bandar Baru Gua Musang,” katanya.
JKR memberitahu, pengguna turut diminta mematuhi arahan serta papan tanda keselamatan yang dipasang di lokasi terjejas.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, laluan FT08 jajaran projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C di Jalan Gua Musang-Kota Bharu berhampiran Taman Rekreasi Kesedar di sini, ditutup kepada semua kenderaan selepas berlaku kejadian lubang benam hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.05 pagi melibatkan kawasan berukuran kira-kira lapan meter (m) kedalaman dan sembilan meter panjang.
Menurut laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang dan Roadcare (M) Sdn. Bhd, lokasi kejadian membabitkan laluan FT08 di Seksyen 205.556 hingga 205.564 di jajaran projek LTU Pakej 3B dan 3C.-UTUSAN











