PETALING JAYA: Malaysia dan Mesir berhasrat memperluas kerjasama pendidikan kepada bidang kejuruteraan, perubatan, elektrik dan elektronik (E&E), teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama kedua-dua negara perlu merangkumi pelbagai bidang pengajian bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kepakaran teknikal dan profesional.
Menurutnya, hubungan pendidikan Malaysia-Mesir yang terjalin sekian lama perlu dikembangkan melangkaui pengajian Islam.
“Pendidikan perlu merangkumi bidang pengajian yang lain,” katanya pada sidang media bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, Hari ini.
Dalam memperluas kerjasama itu, Anwar berkata, Universiti Al-Azhar kekal sebagai institusi penting dalam pendidikan Islam, khususnya dalam menerapkan pendekatan sederhana berteraskan konsep Wasatiyyah.
Beliau berkata, ramai doktor Malaysia menerima latihan di Mesir, sekali gus mencerminkan hubungan pendidikan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara. – UTUSAN











