'Banyak kesilapan mudah punca dihukum JDT'

‘Banyak kesilapan mudah punca dihukum JDT’

Penyerang muda JDT Danish Amirudin melepasi tiga pemain PKR Svay Rieng FC pada Kejohanan ASEAN Piala Shopee Kumpulan B di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih PKR Svay Rieng FC, Matthew McConkey menyifatkan kekalahan besar 0-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (Shopee Cup) 2026/27 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi sebagai satu keputusan yang tidak boleh diterima.

Tanpa berselindung, McConkey menjelaskan permainan yang serba tidak menjadi serta kesilapan demi kesilapan dilakukan skuad The Blue Swords menjadi punca ‘dibaham’ skuad Harimau Selatan.

Beliau menegaskan persembahan hambar anak buahnya terutamanya pada separuh masa kedua memberi ruang mudah kepada pihak lawan untuk menambah lima lagi gol selepas sekadar ketinggalan 0-1 pada babak pertama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami melakukan terlalu banyak kesilapan individu, ia sesuatu yang sukar dipercayai. Ada beberapa kesilapan di atas padang yang memang tidak boleh diterima dan para pemain sendiri sedar mengenai perkara itu.

“Kalah 0-6 bukanlah satu keputusan yang boleh diterima bagi kelab kami, tidak kira dengan pasukan mana sekali pun kami berdepan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kelemahan pasukannya, pengendali dari Northern Ireland itu mengakui kesilapan tersebut tidak hanya tertumpu pada satu-satu posisi, sebaliknya melibatkan kesemua pemain di atas padang.

“Setiap pemain yang beraksi hari ini melakukan kesilapan. Ada kesilapan yang menyebabkan gawang dibolosi, dan ada juga yang gagal menyempurnakan peluang gol. Memang banyak kesilapan daripada semua orang,” tegasnya.

Ketika ditanya perbezaan berbanding perlawanan lalu, beliau akur pihak lawan menampilkan kesebelasan utama yang jauh lebih mantap, manakala pasukannya gagal mengekalkan tahap permainan sebenar.

Bagaimanapun, beliau enggan menjadikan faktor beraksi di tempat lawan atau tekanan sorakan penyokong tuan rumah sebagai punca kekalahan berdarah tersebut.

“Keadaan padang sangat sempurna, suasana perlawanan amat baik dan persiapan kami berjalan lancar sejak tiba di sini. Jadi faktor tuan rumah bukan alasannya,” katanya.

Bagi menghadapi perlawanan seterusnya, beliau menegaskan pasukan akan kembali ke kem latihan untuk menilai semula perlawanan tersebut dan melakukan rombakan untuk kembali mendapat rentak kemenangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini