GEORGE TOWN : Gol mudah akibat kesilapan individu menjadi punca Penang FC gagal menyaingi kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi suku akhir pertama Piala FA yang berlangsung di Stadium Bandaraya, petang semalam.
Ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, itu antara kesimpulan awal yang boleh dibuat selepas menyaksikan pasukannya dimalukan 2-7 oleh juara bertahan Piala FA itu dalam aksi yang lebih memihak kepada pasukan pelawat.
“Sebenarnya, saya tidak suka untuk menyalahkan sesiapa atas kekalahan ini. Tetapi, tidak dinafikan, ya, memang kita nampak ketara ada kegugupan (dalam kalangan pemain) mungkin disebabkan lama tidak beraksi.
“Seperti yang pernah saya beritahu sebelum imi, kesilapan mudah seperti ini akan menghukum kita. Apatah lagi apabila kita berdepan lawan sehebat JDT,” katanya sejurus tamat perlawanan tersebut.
Mengulas lanjut, Wan Rohaimi memberitahu, ketiadaan beberapa pemain tonggak juga menyumbang kepada kegagalan skuad Harimau Kumbang untuk memberi cabaran kepada kelab gergasi dari selatan tanah air itu.
Katanya, ini termasuk dua penjaga gol utama pasukan iaitu Ramadhan Hamid dan Khairulazhan Khalid yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan sehingga memaksa penjaga gol ketiga, Nor Hakeem Hamidun diturunkan untuk menggantikan tempat mereka.
Apapun, Wan Rohaimi berkata, beliau enggan memberi alasan, sebaliknya, akan terus positif termasuk belajar daripada kesilapan lalu walaupun berdepan misi hampir mustahil untuk mendapatkan lima gol dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) selepas ini.
“Saya tahu mereka (JDT) pastinya amat kebal di stadium keramat mereka, tetapi, kita tetap akan ke sana untuk memberi saingan habis-habisan kepada mereka. Masih ada baki 90 minit lagi (waktu sebenar permainan) dan kita akan buat sehabis baik. Itu sahaja,” ujar beliau.-UTUSAN











