TVET 2.0 tumpu robotik, pekerjaan bergaji tinggi

TVET 2.0 tumpu robotik, pekerjaan bergaji tinggi

SEBAHAGIAN pemegang sijil serta diploma Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) masih belum menguasai kompetensi yang benar-benar sepadan dengan keperluan kilang moden.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bidang robotik dan latihan teknikal berkemahiran tinggi menjadi antara keutamaan kerajaan menerusi pelaksanaan TVET 2.0 yang disokong peruntukan RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2027.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan kepada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) itu akan digunakan bagi memperluas kursus bersesuaian dengan keperluan industri serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Beliau berkata, tumpuan khusus akan diberikan kepada program TVET peringkat tinggi menerusi Majlis TVET Negara, termasuk latihan dalam bidang robotik dan pengkhususan teknikal lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Melalui Majlis TVET Negara, saya memberi tumpuan kepada TVET 2.0 dan TVET peringkat tinggi, khususnya bidang robotik serta peluang pekerjaan.

“Kita juga akan menambah bilangan kursus yang relevan dan mempunyai prospek kebolehpasaran lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen, hari ini.

Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, usaha itu bukan sekadar memperluas peluang latihan, sebaliknya memastikan graduan memiliki kemahiran yang memenuhi keperluan majikan.

Katanya, penekanan terhadap latihan teknikal lanjutan penting bagi memastikan pembangunan kemahiran seiring dengan peluang pekerjaan dalam industri.

Dalam pada itu, beliau berkata, penawaran gaji premium kepada graduan dan pekerja berkemahiran turut menjadi antara perkara yang diberi perhatian dalam belanjawan berkenaan.

“Graduan dan pekerja berkemahiran akan ditawarkan gaji premium.

“Saya percaya perubahan ini akan mendapat sambutan baik dalam kalangan graduan serta mereka yang memiliki kelayakan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan terhadap kelayakan teknikal dan kemahiran khusus juga mampu melengkapi usaha meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan graduan.

Selain pembangunan tenaga kerja, Zahid berkata, Belanjawan 2027 turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta membantu golongan usahawan.

Katanya, usaha memperluas bidang keusahawanan dan memperkukuh PMKS penting bagi menyokong matlamat kerajaan meningkatkan eksport negara.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Keusahawanan berkata, belanjawan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja berdaya saing, selain membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan dan pekerja berkemahiran. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini