Trump anggap layak terima Hadiah Nobel Keamanan - Utusan Malaysia

Trump anggap layak terima Hadiah Nobel Keamanan

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mendakwa beliau sepatutnya dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan kerana peranannya menghalang kehancuran sejagat dan menyelesaikan siri konflik besar di seluruh dunia.

Bagaimanapun, Trump mengaku ragu-ragu berhubung peluangnya untuk merangkul anugerah berprestij itu sambil mendakwa jawatankuasa penganjur berkemungkinan tidak akan menyerahkannya kepada individu sepertinya.

“Saya tidak berbangga diri, saya cuma menyatakan hakikat sebenar. Tiada presiden sebelum ini yang menyelesaikan banyak peperangan. Saya telah menamatkan lapan peperangan besar dan menyelamatkan nyawa jutaan manusia,” katanya kepada pengamal media di Rumah Putih pada Rabu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya telah menyelesaikan lapan peperangan dan satu lagi bakal menyusul. Saya berjaya membawa pulang kesemua tebusan dan menghalang kemusnahan total dunia kerana Iran tidak akan sesekali memiliki senjata nuklear,” tambah beliau.

Sejak kembali menakluki Rumah Putih tahun lalu, Trump secara berterusan menegaskan bahawa beliau layak menerima pengiktirafan tertinggi dunia berkenaan.

Mengulas mengenai pengumuman keputusan Anugerah Nobel Keamanan 2026 oleh Jawatankuasa Nobel Norway yang dijadualkan pada Jumaat, Trump meluahkan pandangannya berhubung sikap jawatankuasa berkenaan.

“Saya tidak tahu apa keputusan mereka, tetapi mereka mempunyai reputasi untuk tidak menganugerahkan anugerah tersebut kepada orang seperti saya,” katanya.

Trump turut mendedahkan bahawa beliau sebelum ini secara tidak langsung menerima anugerah berkenaan daripada pemenang terdahulu yang menyifatkan tiada mana-mana pemimpin dalam sejarah yang lebih layak menerima anugerah itu berbanding dirinya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini