PETALING JAYA: Kerajaan memberikan rebat kepada penganjur acara di lokasi berkapasiti sekurang-kurangnya 10,000 penonton sebagai usaha menjadi destinasi pilihan acara besar antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, galakan cukai bagi lawatan insentif, persidangan dan pameran antarabangsa turut dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2030.
Selain itu, beliau turut mengumumkan had pembelian barangan bebas cukai bagi pelawat dan pelancong ke pulau bebas cukai di Langkawi dan Labuan dinaikkan kepada RM10,000.
“Ia tertakluk kepada tempoh penginapan minimum 48 jam. Lebih banyak produk buatan Langkawi juga diberi pengecualian duti import sekali gus menyokong usahawan setempat,” katanya dalam membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, di sesetengah pulau peranginan, penduduk dan pelancong sukar mencari mesin ATM mengakibatkan peniaga kecil terlepas jualan apabila pelanggan tiada wang tunai.
“Tahun hadapan, pembayaran QR diperluas di 15 lokasi, termasuk pulau peranginan,” katanya. –UTUSAN











