KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan penamatan lantikan kontrak interim doktor menjelang akhir 2027 susulan penyediaan 9,000 perjawatan tetap yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2027.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, proses pelantikan tetap itu akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun depan dengan mengambil kira pematuhan syarat serta kumpulan doktor yang terlibat.
Beliau berkata, pendekatan pengurusan yang lebih tersusun akan digunakan bagi mempercepatkan proses berkenaan, sekali gus memperkukuh tenaga kerja kesihatan negara.
“Pelantikan tetap akan kita laksanakan sepanjang 2027 ini kita akan tamatkan. Proses itu akan mengambil masa sedikit, tapi memenuhi syarat-syaratnya dan juga mengambil kira kohortnya.
“Apa pun kita akan laksanakan dengan cara yang mungkin agak sikit inovatif untuk ditangani dengan secara segeralah.
“Ini memerlukan sedikit kelainan pengurusan dan pendekatannya,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen, hari ini.
Menurutnya, langkah itu merupakan perkembangan positif dalam menangani cabaran sumber manusia sektor kesihatan, namun penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama pelbagai agensi termasuk KKM, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Katanya, pendekatan sebelum ini yang dilihat berasingan dalam aspek pengambilan, penempatan dan pengkhususan tenaga kerja perlu diselaraskan supaya perancangan sumber manusia kesihatan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly berkata, Belanjawan 2027 turut memperuntukkan peningkatan insentif kelayakan kepakaran lanjutan (post-basic) bagi kira-kira 47,000 jururawat dan anggota paramedik daripada RM100 kepada RM200.
Selain itu, insentif perkhidmatan kesihatan bagi petugas yang berkhidmat melalui perkhidmatan doktor udara dinaikkan daripada RM30 kepada RM100.
“Ini tiga perkara yang saya nak sebutkan tentang yang terkait dengan memperteguhkan tenaga kerja kesihatan,” katanya.
Mengenai kemudahan kesihatan, beliau berkata, sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan hospital serta klinik, termasuk menaik taraf klinik daif dan kuarters.
Selain itu, RM968 juta disediakan bagi peralatan perubatan moden, menaik taraf kemudahan hemodialisis serta meningkatkan keupayaan fasiliti kesihatan.
KKM turut menerima tambahan 400 ambulans bagi memperkukuh perkhidmatan kecemasan dan meningkatkan keupayaan penghantaran pesakit. – UTUSAN











