KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukkan tertinggi apabila menerima hampir RM69 bilion untuk Belanjawan 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata KPM pada tahun ini menerima RM66.2 bilion, sekali gus menyaksikan peningkatan untuk tahun akan datang.
Malah, beliau berkata, kerajaan bersetuju supaya peruntukan bagi membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah ditingkatkan dari RM1 bilion kepada RM2 bilion.
“Peruntukan bagi Sekolah Kebangsaan naik kepada RM900 juta. Peruntukan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina pula naik kepada RM100 juta.
“Peruntukan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) naik kepada RM50 juta, kendatipun jumlah murid di SJKT relatifnya lebih kecil, oleh kerana keadaan prasarana sekolah yang daif, menuntut perhatian segera,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) naik kepada RM200 juta.
“Skop peruntukan ini akan diperluas untuk meliputi bantuan operasi institusi,” katanya.
Tambahnya, hampir RM1.3 bilion turut disediakan bagi menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak. –UTUSAN











