Cari punca, perbaiki, barulah pelajar dilindungi

Cari punca, perbaiki, barulah pelajar dilindungi

KAMAL AFFANDI HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSIDEN kematian Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16 di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor pada 3 Oktober lalu mengejutkan ramai pihak kerana sekali lagi berlaku di pekarangan sekolah melibatkan seorang remaja yang masih muda, malah menjadi kes kematian terbaharu melibatkan pelajar sekolah.

Sejak daripada itu, kes ini menimbulkan pelbagai pandangan, spekulasi, tuduh-menuduh dan sebagainya. Penganalisis jenayah, KAMAL AFFANDI HASHIM turut terkesan dengan kes ini. Beliau mahu turut membantu mencari jalan penyelesaian serta memastikan kes seperti ini tidak berulang di masa akan datang.

Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN bersama beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak, Pengerusi Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak malah pernah terlibat dengan usaha merangka Akta Kanak-Kanak 2001.

Memuatkan artikel berkaitan…

UTUSAN: Apa reaksi saudara sebaik sahaja terbaca kes ini?

KAMAL AFFANDI: Apa yang berlaku dan apa yang telah dilakukan, di sebalik jumlah kehilangan nyawa yang semakin berleluasa, masih ada ruang penambahbaikan.

Saya guna analogi sebuah rumah. Kita menukar langsir, alas kaki, tukar bumbung, tetapi rumah tidak ‘sembuh’. Retak dinding masih sama. Jadi ini perlu dipulihkan.

Kita perlu faham asas masalah terlebih dahulu. Kita perlu memperbaikinya kerana isu sekolah di luar bandar berbeza dengan sekolah bandar.

Kita perlu beri ubat paracetamol. Dalam kes ini, ada ubat khususnya. Katakanlah, makan ubat tetapi hasilnya masih sama, kita tetap perlu membaikinya.

Namun, apabila perkara ini terjadi, ada yang minta menteri letak jawatan sedangkan ini masalah pelajar sekolah.

 

Ini kes terbaharu melibatkan kematian pelajar sekolah sejak tahun lalu. Apa yang menyebabkan berlakunya kes seperti ini?

Masalah ini tidak akan selesai tanpa kita melihat kepada tiga elemen. Pertama, peluang melakukannya. Kedua, sasaran. Ketiga, pemangsa atau mangsa. Ia bertumpu kepada ketiga-tiga elemen ini, sama ada ia boleh berlaku atau tidak.

Jadi, apa yang perlu kita buat ialah kurangkan jumlah pemangsa atau kurangkan mangsa. Ini kita panggil mengurus peluang, iaitu sebelum seseorang itu menjadi mangsa atau pemangsa. Ini soal psikososial murid, jadi kita kena kurangkan mangsa.

 

Siapa yang bertanggungjawab untuk mengurangkan jumlah mangsa ini?

Saya tahu ada jawatankuasa yang telah ditubuhkan untuk menangani isu ini tetapi tidak salah kalau ada pihak lain yang mahu memberikan pandangan terutamanya yang sudah lama berada di lapangan. Yang ada pengetahuan dan ada pengalaman.

Saya rasa kesian apabila ada pihak berkepentingan seperti menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha kementerian dipersalahkan.

Saya dengan rakan-rakan sudi tampil dan tawarkan bantuan, supaya cadangan-cadangan yang sesuai dapat dipertimbangkan dan interaksi dapat dibina demi kesejahteraan pelajar.

Kita perlukan satu gerak kerja berkumpulan kerana ini adalah isu nasional, kita tidak dapat melakukan gerak kerja jika kita membentuk persekitaran yang boleh mengurangkan mangsa tetapi pada masa sama mengacau ekosistem sekolah.

 

Bagaimana jumlah mangsa ini dapat dikurangkan?

Saya nak tanya, kenapa tidak ada kes seperti ini di sekolah-sekolah kebangsaan lain? Sebab peluang untuk berlakunya kes itu sangat tipis. Cara mereka mengurus dalam kelas, pemantauan, ibu bapa yang terlibat, seluruh ekosistem sekolah. Jadi, mesti ada faktor-faktor yang menyebabkan peluang itu muncul.

Ada yang mencadangkan warden separuh masa tetapi ada juga kes di asrama, kenapa ia tetap boleh berlaku.

Kita sudah cuba medico-legal, kita sudah ada khidmat kaunseling, kita sudah cuba pendekatan agama, kita juga sudah ada pendekatan sistematik seperti terlibat dengan kokurikulum yang bersifat regimental.

Apa kata kita cuba pula pendekatan kreatif, yang sebelum ini ada yang takut atau khuatir untuk melakukannya.

Saya bagi contoh basikal lajak, kita biasanya akan hukum mereka dan panggil ibu bapa mereka. Cuba kita bagi mereka lumba satu padang, kemudian bagi mereka masuk kelas fizik dan kelas mekanikal, kita boleh guna pengetahuan untuk ubah pandangan mereka.

 

Adakah pendekatan ini mampu mengubah pelajar-pelajar ini?

Masalah kita dengan mereka adalah bahasa perantara dengan pelajar ini. Kita sudah cuba pelbagai konsep tetapi kalau kita ingatkan mereka, contohnya umur 15 tahun sudah mengandung, sudah ada bayi, kita kena bagi benda yang mereka boleh faham, yang mereka boleh hadam.

 

Tetapi bagaimana dengan pendekatan sekolah sebelum ini?

Dulu sekitar 2002-2003, kelab pencegahan jenayah telah ditubuhkan di sekolah-sekolah, tetapi isu seperti ini masih berlaku, jadi ini perlu terus diperbaiki, diteliti, ditambah baik dan melihat semula objektif penubuhan kelab ini. Dalam soal mengadakan program bina sahsiah di sekolah juga susah nak dapatkan sumbangan.

Dari sudut pengendalian dan solusi sebenarnya tidak sama antara sekolah bandar dan luar bandar terutamanya murid dan infrastruktur, jadi jika nak menghukum, ia menjadi tidak praktikal untuk melaksanakannya secara sama rata di semua sekolah.

Lebih penting adalah pemantauan, pengisian murid, penglibatan masyarakat serta kesediaan umum yang menjadi pengawas dalam isu ini.

Contohnya budak hisap vape, mengapa tidak menegur mereka? Apabila kita tidak menegur mereka, kita membuka peluang dan mereka menjadi semakin berani, keyakinan semakin bertambah, menjadi antisosial dan berani melakukan sesuatu perkara yang tidak sesuai dengan umur mereka.

Jadi, kita perlu lihat semula pengisian murid, kelemahan dan kekuatannya serta kemaskini pendekatan yang digunakan.

 

Jadi program di sekolah juga perlu diperkasakan?

Saya sudah banyak buat program di sekolah harian, ada antara muridnya menjadi orang yang berjaya. Jadi, kita perlu buat program yang bagus dan ‘meniru’ apa yang tepat dan terbaik untuk mereka.

Isu pendidikan ini pendekatannya ketika ini seperti pukat tunda. Buat sahaja, dapat ikan dapatlah, kalau tidak dapat, tidak dapatlah. Kita perlu guna teknik seperti akupunktur, perlu tepat, bukan main tabur paku sahaja.

Ini soal masa depan negara. Baik dalam sekolah mahupun di luar sekolah, kita perlu mengambil langkah yang bijak untuk menangani isu ini.

Sebab yang menilai adalah masyarakat, pandangan mereka tidak boleh dipinggirkan. Nyawa menjadi mangsa, murid menjadi pertaruhan.

Saya takkan biarkan perkara ini berlaku, selagi ada hayat saya akan bantu.

 

Apa yang diharapkan kepada pihak berkepentingan untuk menangani isu ini?

Lihat semula kekuatan dan kelemahan, perbaiki diri, kurangkan mangsa, buat keputusan tanpa prejudis, objektif dan apolitikal kerana setiap kehilangan nyawa memberikan kesan kepada kita. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini