KUALA LUMPUR: Selain angka peruntukan, bantuan rakyat dan hala tuju ekonomi negara, warna baju Melayu yang digayakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian semasa pembentangan Belanjawan 2027, hari ini.
Teka-teki kecil yang menjadi antara perkara dinanti-nantikan akhirnya terjawab apabila Anwar mengenakan baju Melayu cekak musang berwarna biru cair.
Terdahulu, Anwar tiba di Parlimen pada pukul 3.25 petang sambil membawa beg dokumen berisi teks ucapan pembentangan Belanjawan 2027.
Beliau diiringi Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta ditemani isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Belanjawan Madani yang dibentangkan hari ini adalah belanjawan kelima sejak pentadbiran Kerajaan Madani dibentuk pada 2022.
Ia membawa tema ‘Malaysia Madani: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ yang berpaksikan tiga tonggak Ekonomi Madani iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai taraf hidup rakyat dan memacu reformasi tatakelola.
Pada pembentangan Belanjawan 2023, Anwar mengenakan baju Melayu biru muda, kemudian pada Belanjawan 2024, Anwar tampil dengan baju Melayu ungu muda atau lilac, sebelum memilih kelabu muda pada Belanjawan 2025.
Tahun lalu, ketika membentangkan Belanjawan 2026, beliau kembali memilih biru muda, warna yang turut mencerminkan kecenderungannya terhadap pakaian tradisional berona lembut ketika menghadiri majlis rasmi. –UTUSAN











