MELAKA: Pakatan Harapan (PH) akan mengetengahkan gagasan ‘Melaka Rumah Kita’ sebagai antara tawaran politik gabungan itu kepada rakyat negeri ini dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, gagasan berkenaan akan diperincikan menerusi manifesto dan beberapa tawaran berkaitan masa depan negeri serta kehidupan rakyat sepanjang tempoh menjelang hari mengundi.
Menurutnya, PH mahu melaksanakan kempen positif dengan mengetengahkan pengalaman gabungan itu ketika mentadbir Melaka pada 2018 hingga 2020 sebelum ini selain menawarkan gagasan baharu untuk negeri berkenaan.
“Melaka itu rumah kita, batu asas-batu asasnya telah ditanam lama, telah disimpan lama. Kawan-kawan di DAP telah mempunyai asas di kawasan Kota Melaka, di kawasan Ayer Keroh dan di DUN-DUN yang berkenaan.
“Insya-Allah, kita boleh rampas balik kawasan-kawasan tradisi kita. Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) ada kerusi-kerusi tradisi yang pernah kita menangi. Begitu juga Amanah,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan Melaka di Bukit Baru di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari; Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dan Pengerusi Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat
Amirudin berkata, pengalaman PH diberikan mandat mentadbir pada 2018 akan diketengahkan semula, termasuk rekod pentadbiran bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.
Menurutnya, beberapa inisiatif yang diperkenalkan ketika pentadbiran Adly, termasuk Rumah Rakyat Melaka dan usaha menarik pelaburan, masih memberi kesan sehingga kini.
“Kita datang ke Melaka bukan hanya dengan menawarkan sesuatu yang di awang-awangan. Kita pernah ada berpengalaman.
“Tuan Haji Adly merupakan bekas Ketua Menteri Melaka sebelum Langkah Sheraton dan beberapa tindakan beliau seperti Rumah Rakyat Melaka dan beberapa inisiatif tentang pelaburan masih berkesan sehingga sekarang,” katanya.
Beliau berkata, PH yakin mempunyai barisan kepemimpinan yang mampu menawarkan pentadbiran negeri sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada PRN kali ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, Bilik Gerakan PH Melaka yang mula beroperasi hari ini merupakan ‘tiang pertama’ kepada pembinaan gagasan Melaka Rumah Kita.
Katanya, pusat berkenaan akan menjadi lokasi penyelarasan pelbagai aktiviti sepanjang tempoh pilihan raya termasuk sidang media, pertemuan, ceramah, pengumuman serta latihan jentera.
“Tiang pertama itu adalah bilik gerakan kita pada hari ini, dan tiang ini akan berkembang menjadi struktur-struktur, dinding-dinding, bumbung-bumbung yang kita bina untuk membina apa yang dipanggil Melaka Rumah Kita.
“Nanti saya akan bentangkan sepanjang tempoh menjelang kempen dan juga menjelang tempoh hari mengundi, manifesto dan juga gagasan kita tentang masa depan Melaka, tentang kehidupan rakyat Melaka, tentang apa yang kita impikan Melaka di masa depan,” katanya.
PRN Melaka akan melibatkan 28 kerusi DUN dengan hari mengundi ditetapkan pada 14 November, manakala undi awal pada 10 November. – UTUSAN











