Pembangunan bakat perlu seiring ekonomi negara

Pembangunan bakat perlu seiring ekonomi negara

MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrisnan (tengah) bergambar bersama wakil rakan strategik TalentCorp semasa penyampaian Sijil Penghargaan hari ini. - UTUSAN/ M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangunan bakat mesti bergerak seiring hala tuju ekonomi negara supaya rakyat bersedia merebut peluang pekerjaan berkualiti dan menikmati pendapatan lebih tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, Malaysia akan berdepan cabaran tanpa rakyat yang mempunyai kemahiran diperlukan meskipun negara mampu membawa masuk pelaburan dan teknologi serta membangunkan industri baharu.

Katanya, persediaan bakat perlu dibuat lebih awal tanpa menunggu industri berkembang terlebih dahulu kerana negara akan ketinggalan jika pembangunan tenaga kerja bergerak terlalu perlahan.

“Kita perlu memahami perubahan dalam pasaran kerja termasuk kesan kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan ekonomi hijau terhadap pekerjaan, kemahiran yang semakin diperlukan serta jurang bakat yang perlu kita tangani.

“Di sini, saya juga mahu bercakap terus kepada industri dan majikan yang hadir pada hari ini. Kalau ada kemahiran yang diperlukan, beritahu kita. Kalau ada pekerjaan baharu yang muncul, beritahu kita. Kita bina bakat lebih awal.

“Sebab itu kita perlu sentiasa bersedia dengan perubahan. Saya tidak mahu kajian hanya berhenti di atas kertas. Data mesti membawa kepada tindakan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu MyBakat oleh TalentCorp di Connexion Conference & Event Centre (NEXUS), Bangsar, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, TalentCorp memperkenalkan dua intervensi iaitu Platform Indeks Kesiapsiagaan Bakat Nasional (MyTRI) dan Program Inkubasi MyBakat (MyBIG) bagi memastikan pembangunan bakat selari dengan keperluan industri.

Katanya, MyTRI membantu mengenal pasti tahap kesiapsiagaan, kekuatan, jurang dan keperluan bakat negara supaya tindakan yang tepat dapat ditentukan berdasarkan data yang diperoleh.

“MyBIG pula membangunkan bakat mengikut keperluan sebenar industri dengan melibatkan wanita, veteran Angkatan Tentera Malaysia dan segmen bakat lain. Industri turut dilibatkan sejak awal dalam merangka latihan yang relevan.

“Kita tidak boleh bercakap tentang ekonomi bernilai tinggi tetapi masih mempunyai pekerjaan bernilai rendah. Kemahiran, produktiviti, pekerjaan dan pendapatan mesti bergerak bersama. Kalau kemahiran naik, produktiviti naik, gaji pun mesti ikut naik,” katanya.

Menurut Ramanan, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memerlukan tambahan peruntukan menerusi Belanjawan 2027 bagi memperluas pelaksanaan program peningkatan kemahiran dan latihan semula untuk rakyat Malaysia.

Katanya, program peningkatan kemahiran dan latihan semula yang dilaksanakan kementerian mengambil masa kurang daripada setahun, dengan tempoh latihan bergantung kepada bidang kepakaran yang hendak diceburi serta tahap yang ingin dicapai.

“Banyak pelaburan antarabangsa kini masuk ke Malaysia. Kita perlu memastikan peluang pekerjaan yang terhasil diberikan kepada rakyat Malaysia terlebih dahulu. Kita tidak mahu pelaburan masuk ke Malaysia tetapi peluang pekerjaan yang ditawarkan diberikan kepada warga asing yang datang ke sini.

“Mereka boleh dibantu untuk mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran masing-masing. TalentCorp akan membiayai latihan mereka serta memberikan kemahiran yang diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini