Malaysia-Jepun kukuhkan kerjasama pengurusan sisa pepejal

Malaysia-Jepun kukuhkan kerjasama pengurusan sisa pepejal

NGA Kor Ming dan Azemoto menunjukkan memorandum kerjasama yang dimeterai di Parlimen, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Jepun memperkukuh kerjasama jangka panjang dalam pengurusan sisa pepejal mampan menerusi pemeteraian memorandum kerjasama bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah sistem pengurusan sisa yang lebih mampan dan cekap sumber.

Memuatkan artikel berkaitan…

Memorandum kerjasama yang akan berkuat kuasa selama lima tahun sehingga 2030 itu dimeterai ketika kunjungan hormat dan mesyuarat dua hala antara Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dengan Menteri Negara Alam Sekitar Jepun, Azemoto Shogo di Parlimen, ibu negara, kelmarin.

Kor Ming berkata, kerjasama yang diperbaharui itu meneruskan hubungan erat Malaysia dan Jepun yang telah terjalin lebih sedekad dalam memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal negara.
Ia selaras dengan sasaran kerajaan untuk mencapai kadar kitar semula kebangsaan sebanyak 53 peratus menjelang 2035.

“Malaysia amat menghargai sokongan berterusan Jepun sejak 2010. Antara hasil kerjasama ini adalah Pelan Strategik Pengurusan Sisa Makanan di Malaysia 2010-2016 serta Garis Panduan Teknikal Pemilihan Teknologi Pengurusan Sisa Pe­pejal pada 2023.

“Seiring dengan keutamaan baharu, sudah tiba masanya kerjasama ini diperbaharui bagi memastikan kesinambungan ser­ta memperkukuh usaha bersama dalam memajukan pengurusan sisa yang mampan,” katanya.

Kor Ming berkata, Malaysia sedang melaksanakan strategi jangka panjang untuk me­ngubah pengurusan sisa pepe­jal, termasuk melalui penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Kebangsaan (NCEC), pengena­lan Pelan Induk Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal, pembangunan dasar Tanggungjawab Pengeluar Diperluas (EPR) serta penggunaan teknologi Sisa kepada Tenaga (WTE).

“Kedua-dua negara berkongsi objektif yang sama untuk membangunkan ekosistem pe­ngurusan sisa yang cekap, me­ningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh kitaran sumber serta menyokong peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.

“Malaysia telah menetapkan sasaran untuk mencapai ekonomi neutral karbon menjelang 2050 dan kami berharap kerjasama ini dapat diterjemahkan kepada lebih banyak inisiatif praktikal, khususnya melalui program pembangunan kapasiti dan pemindahan teknologi bagi memperkukuh kepakaran teknikal dan operasi dalam kalangan pegawai serta tenaga teknikal,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini