CAMERON HIGHLANDS: Pihak berkuasa digesa menghentikan sementara sebarang keputusan berkaitan pembinaan jalan pintasan sepanjang 3.1 kilometer dari Royal Lily ke Villa Dahlia di Tanah Rata di sini, sehingga risiko geoteknikal dan alam sekitar dinilai secara menyeluruh.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) A. Dilip Martin berkata, ini berikutan pihaknya telah mengenal pasti beberapa kejadian tanah runtuh di sekitar Gunung Jasar, Tanah Rata di sini iaitu kawasan yang dikaitkan dengan kajian cadangan projek jalan pintasan tersebut.
Menurutnya, lebih membimbangkan, kejadian tanah runtuh itu telah menyebabkan kerosakan teruk di kawasan Perkuburan India Bharat Tea dipercayai berpunca dari kawasan cerun Gunung Jasar.
“Adakah kejadian tanah runtuh terbaharu di kawasan Gunung Jasar diambil kira dalam kajian projek ini dan adakah penilaian dibuat?
“Adakah kajian geoteknikal terkini telah mengambil kira kestabilan cerun dan apakah langkah mitigasi sekiranya pemotongan cerun menyebabkan peningkatan aliran air, hakisan, tanah runtuh dan banjir kilat.
“Selain itu adakah penilaian risiko kumulatif penempatan di kaki Gunung Jasar seperti Carnation Park dijalankan?
“Jika perkara-perkara ini belum dikaji secara menyeluruh, Reach berpendapat projek tersebut tidak wajar diteruskan ke peringkat pembinaan,” katanya semalam.-UTUSAN.











