PETALING JAYA: Subsidi yuran pengasuhan bagi kanak-kanak bawah empat tahun wajar dinaikkan secara berperingkat pada Belanjawan 2027 mengikut pendapatan isi rumah bagi meringankan beban ibu bapa yang menghantar anak ke taska berdaftar.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid mencadangkan subsidi pengasuhan sehingga RM400 sebulan bagi setiap anak untuk keluarga berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.
Menurutnya, bagi keluarga berpendapatan antara RM3,001 hingga RM5,000 pula subsidi dicadangkan adalah sebanyak RM300 sebulan bagi setiap anak, manakala keluarga berpendapatan RM5,001 hingga RM7,000 pula sebanyak RM200.
“Cadangan itu merupakan penambahbaikan kepada Subsidi Yuran Pengasuhan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang ketika ini menyediakan RM180 sebulan bagi seorang kanak-kanak yang memenuhi syarat kelayakan.
“Kadar baharu itu dicadangkan bagi maksimum dua anak berumur bawah empat tahun yang dihantar ke taska berdaftar dengan JKM, manakala bayaran subsidi dibuat terus kepada taska mengikut yuran sebenar dan tertakluk kepada kadar maksimum bagi setiap kategori pendapatan isi rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, bagi keluarga mempunyai tanggungan ramai atau anak orang kurang upaya (OKU) pula wajar diberikan ruang membuat rayuan berdasarkan pendapatan per kapita.
Katanya, pelaksanaannya boleh dilakukan secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah, tertakluk kepada penilaian kos.
“Cadangan itu dikemukakan kerana pada tahun 2024 Malaysia merekodkan 414,918 kadar kelahiran dengan kadar kesuburan sebanyak 1.6 anak bagi setiap wanita, sekali gus menunjukkan keperluan memperkukuh sokongan terhadap pasangan muda,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati terdapat sesetangah ibu bapa terpaksa memperuntukkan lebih RM2,000 sebulan bagi menampung kos pengasuhan dan keperluan anak-anak.
Seorang pekerja am, Fazilah Othman, 39, berkata, kadar taska di kawasannya ketika ini kebanyakannya sudah mencecah antara RM500 hingga RM700 sebulan, malah terdapat kenalannya yang menanggung kos pengasuhan melebihi RM2,000.
Katanya, dia sendiri membelanjakan kira-kira RM1,000 sebulan bagi persekolahan empat anaknya.
“Kalau kerajaan hendak beri subsidi untuk yuran taska dan tadika memang sangat wajar. Bagi ibu bapa bekerja, kos taska dan transit tetap perlu ditanggung walaupun anak mendapat tempat di prasekolah,” katanya.
Manakala bagi Mohd. Fitri Juhari, 34, pula berkata, perbelanjaan berkaitan anak setakat ini boleh mencecah kira-kira RM1,500 sebulan dan jumlah tersebut telah mengambil sebahagian besar daripada pendapatan dia.
“Subsidi pengasuhan amat membantu terutama bagi keluarga yang bergantung kepada satu sumber pendapatan kerana kos penjagaan anak perlu ditanggung bersama perbelanjaan pendidikan dan keperluan harian keluarga,” katanya.
Sementara itu seorang lelaki yang tidak ingin dikenali berkata, subsidi pengasuhan wajar diperkenalkan khususnya bagi membantu keluarga yang hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan.
“Bagi ketua keluarga yang bekerja seorang diri, memang terasa tekanannya kerana perlu menanggung perbelanjaan rumah, anak-anak, pendidikan dan tuisyen. Kalau ada subsidi, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan sedikit perbelanjaan untuk anak-anak,” katanya. – UTUSAN











