KANGAR: Nelayan kategori Zon C2 berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian subsidi diesel pada Belanjawan 2027 pada esok (Jumaat).
Buat masa ini, golongan nelayan Zon C2 tidak menikmati subsidi sebagaimana bot nelayan Zon A, B dan C yang mana mereka hanya menerima insentif pendaratan ikan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Perlis, Asri Jab berkata, permintaan tersebut sewajarnya dipertimbangkan oleh kerajaan berikutan kos diesel pada masa ini terlalu tinggi dan membebankan.
“Ini kerana nelayan C2 perlu membayar diesel dengan harga industri dan mereka tidak mendapat kemudahan seperti fleet card yang diberi kepada pemilik lori atau pengusaha feri.
“Oleh itu, kita minta agar subsidi kepada nelayan C2 ini dapat dikembalikan walaupun tidak sepenuhnya yang sedikit sebanyak dapat kurangkan beban mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan memperincikan tuntutan bantuan subsidi diesel oleh nelayan termasuk kategori Zon C2 dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) susulan krisis tenaga global.
Sementara itu, Asri berkata, kedudukan Perlis sedikit jauh dari lokasi tangkapan ikan laut dalam dengan anggaran jarak sekitar 40 batu nautika, sekali gus memerlukan penggunaan diesel yang lebih.
“Kalau kerajaan tidak beri subsidi ini, kami bimbang banyak bot akan tergendala disebabkan tidak boleh beroperasi akibat kos diesel terlalu tinggi,” katanya.
Dalam masa sama, Asri turut berharap kerajaan dapat mengawal harga alat ganti buat golongan nelayan yang dilihat semakin meningkat dan membebankan mereka.
Ujarnya, keadaan itu sedikit sebanyak memberi kesan memandangkan harga ikan buat masa ini masih belum meningkat namun nelayan perlu menanggung kos tinggi.
“Sebagai contoh, dulu pukat ketam harga sekitar RM12 namun sekarang dah jadi RM25. Harga enjin 40 kuasa kuda dahulu RM14,000, tapi sekarang sudah RM18,000.
“Kita juga harap elaun sara hidup dan program-program khas disediakan untuk nelayan sebelum ini dapat dikekalkan dan ditambah baik,” katanya. – UTUSAN











