ISKANDAR PUTERI: Operator pelabuhan di negara ini dinasihatkan untuk mempercepatkan inisiatif pelaksanaan nyah karbon, termasuk menerusi penggunaan lori terminal berkuasa elektrik (e-prime mover) bagi pengoperasian pelabuhan mereka.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah peralihan kepada amalan hijau selari dengan komitmen Malaysia dibawah Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Katanya, usaha pengurangan karbon di peringkat operasi pelabuhan perlu dilaksana seiring peralihan industri perkapalan global yang kini turut meneroka penggunaan bahan api alternatif seperti methanol, gas asli cecair (LNG) dan ammonia.
“Penggunaan jentera berkuasa elektrik seperti e-prime mover yang dilaksanakan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) bersesuaian dengan misi tersebut. Saya yakin, pengendali pelabuhan lain akan turut mengambil langkah sama selepas ini.
“Bagaimanapun, perkara itu tertakluk kepada operator pelabuhan memandangkan ia melibatkan pelaburan dan pembelian aset baharu oleh pihak mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Armada Lori Terminal Berkuasa Elektrik di Pelabuhan Tanjung Pelepas, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman.
Tambah Siew Fook, langkah mempercepat pematuhan terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) membolehkan pelabuhan tempatan beroperasi secara lebih bertanggungjawab, mengekalkan daya saing dan menaikkan kedudukan di dalam sektor perkapalan dunia.
“Kementerian Pengangkutan komited menyediakan dasar dan kerangka kawal selia menerusi badan-badan penguasa pelabuhan bagi menyokong agenda hijau ini. Kita sedang bekerjasama dengan kerajaan Australia bagi merangka pengawalseliaan berhubung pembekalan bahan api hijau serta penyesuaian prosedur operasi standard (SOP) di pelabuhan.
“Peralihan kepada jentera berasaskan elektrik juga memerlukan penyediaan infrastruktur seperti stesen pengecasan dan protokol keselamatan baharu bagi memastikan kelancaran operasi di terminal,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memuji langkah penggabungan PTP dan Pelabuhan Pasir Gudang, sebagai satu entiti bawah jenama Pelabuhan Johor yang telah mencatat kedudukan nombor 11 pelabuhan tersibuk di dunia.
“Pelabuhan Johor yang merangkumi PTP dan Pelabuhan Pasir Gudang berjaya mengendalikan lebih 14 juta kontena setahun. Pencapaian ini melonjakkan kedudukannya ke tangga 11 pelabuhan tersibuk dunia, di belakang Pelabuhan Klang yang berada di tangga ke-10.
“PTP mempunyai potensi cukup besar untuk dibangunkan sebagai hub green bunkering dan transhipment terbesar negara. Kita berharap langkah ini dapat menarik lebih banyak pelaburan serta menjana aktiviti ekonomi di kawasan sekitar Tanjung Pelepas,” katanya.-UTUSAN











