PASIR SALAK: Dua maut manakala seorang lelaki parah selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Teluk Sareh, Kampung Gajah di sini pagi tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Siti Qazrina Abdul Rahman, 19, dan Adam Danial Abdul Rahman, 18.
Kedua-dua mangsa dipercayai tercampak ke dalam parit selepas motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Yaris.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 4.29 pagi.
Katanya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah segera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Setibanya jentera di lokasi, didapati kereta Toyota Yaris telah berada di dalam parit dan terdapat seorang mangsa di dalamnya namun tidak tersepit.
“Pemeriksaan juga mendapati penunggang dan pembonceng motosikal turut berada dalam parit berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ketua operasi kemudian melakukan penilaian risiko dan mengaplikasikan konsep Saver seterusnya mengarahkan anggota untuk mengangkat ketiga-tiga mangsa menggunakan pengusung.
Katanya, kedua-dua mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian manakala mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Seri Iskandar untuk rawatan.
“Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada pukul 6.54 pagi,” katanya. – UTUSAN











