KUANTAN: Lokasi resort yang dijadikan tempat scammer antarabangsa menjalankan taktik licik dan kegiatan penipuan sindiket tersebut di Sungai Lembing di sini bukan sahaja sunyi malah jauh dari penempatan penduduk di situ.
Laluan ke lokasi itu menggunakan jalan menuju ke Air Terjun Pelangi di sini dan apabila sampai ke pintu utama, perlu melalui perjalanan hampir satu kilometer sebelum sampai ke resort.
Seorang penduduk yang enggan namanya dikenali berkata, dia sememangnya kenal dengan pemilik resort itu yang merupakan warganegara tempatan berasal dari Sarawak.
“Sebelum resort ini dibuka saya sudah kenal dengan dia. Dia datang beli tanah di situ dan bina resort di situ kira-kira tujuh ke lapan tahun lalu.
“Saya memang mengenalinya, sudah berusia anggaran umur antara 75 ke 77 tahun, tapi masih merupakan seorang lelaki yang sihat dan tegap badannya. Dia asal dari Sarawak. Masa dia datang sini pun dia seorang diri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, selain resort, di situ juga terdapat muzium tiga tingkat yang mempunyai pelbagai barangan lama, antik milik lelaki tersebut.
“Memang semua barang dia. Dulu dia buka resort, bila ada orang menginap, boleh berkunjung juga ke muzium di situ,” katanya.
Namun katanya, sejak beberapa bulan ini, lokasi itu sering bertutup dan penduduk termasuk dirinya tidak tahu sebarang aktiviti di situ.
“Bila keluar berita berkaitan scammer antarabangsa di situ kami terkejut. Sebab memang tidak nampak pergerakan orang.
“Saya juga cuba beberapa kali untuk ke situ bagi berjumpa lelaki itu tetapi pintunya bertutup. Jadi memang tidak sangka kejadian ini berlaku.
“Semasa operasi oleh pihak berkuasa di situ pun kami tidak tahu. Jadi memang terkejut sebab pemilik resort itu memang saya kenal, seorang yang baik dan peramah,” katanya.
Kelmarin, taktik licik sindiket scammer antarabangsa yang menjadikan sebuah pusat peranginan yang sudah pun ditutup sejak setahun lalu sebagai pusat panggilan untuk memperdaya mangsa, terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa, Isnin lalu.
Lebih mengejutkan, sindiket sanggup menyewa premis berkenaan sekitar RM30,000 sebulan dan menjadikan ia sebagai markas utama sindiket lengkap dengan pelbagai kemudahan internet.
Selepas tiga bulan beroperasi, premis di Jalan Sungai Arang, Sungai Lembing, Kuantan Pahang itu diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi operasi khas hasil risikan selama kira-kira sebulan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dilaporkan berkata, serbuan itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Pahang.
Beliau berkata, seramai 98 individu ditahan membabitkan 95 warga asing dan tiga warga tempatan termasuk pemilik pusat peranginan itu. – UTUSAN











