PETALING JAYA: Warga asing yang ditahan dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian di sebuah resort terpencil di Sungai Lembing, Pahang baru-baru ini didapati telah tinggal lebih masa selepas memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
Malah ada dalam kalangan mereka tidak mempunyai sebarang dokumen termasuk pasport dipercayai memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan sebagai pintu masuk atau ‘jalan tikus’.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, taktik menggunakan resort sebagai pusat aktiviti menjalankan kegiatan ‘scammer’ bukanlah perkara baharu dikesan di negara ini.
Menurutnya, pada awal tahun 2023, jabatan itu pernah menjalankan operasi di Pulau Langkawi membabitkan beberapa resort yang tidak lagi beroperasi dan dijadikan markas oleh sindiket untuk menjalankan aktiviti penipuan dalam talian.
“Kami percaya taktik menggunakan resort terpencil sebagai lokasi operasi bukanlah modus operandi baharu sindiket sebaliknya ia kembali digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengelakkan kegiatan mereka dikesan.
“Sindiket menggunakan pelbagai modus operandi dan lokasi mereka juga sentiasa bertukar bagi mengelakkan kegiatan dikesan pihak berkuasa. Kami menyarankan orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin media melaporkan seramai 98 individu, terdiri daripada 95 warga asing dan tiga rakyat Malaysia, ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen di sebuah resort di Jalan Sungai Arang, Sungai Lembing, Pahang pada 5 Oktober lalu.
Serbuan itu dilakukan selepas pihak Imigresen menjalankan risikan selama kira-kira sebulan.
Sementara itu Zakaria memaklumkan tidak terdapat sebarang prosedur operasi standard (SOP) tertentu untuk warganegara China susulan warganegara itu seringkali ditahan dalam operasi berkaitan.
“SOP kemasukan warganegara asing adalah mengikut prosedur yang ditetapkan di pintu-pintu masuk negara dan ia diguna pakai terhadap semua warga asing yang memasuki Malaysia.
“Namun, bagi warganegara China yang memasuki Malaysia sebagai pelancong berdasarkan dasar kerajaan yang ditetapkan, mereka tidak perlu memohon visa untuk memasuki Malaysia bagi tujuan pelancongan.
“Warganegara China juga boleh menggunakan autogate di pintu masuk negara,” katanya.
Dalam pada itu, jelasnya, Jabatan Imigresen akan menjalankan siasatan lebih mendalam sama ada warga asing yang ditahan dalam operasi tersebut merupakan mangsa sindiket ataupun tidak.
Katanya,, siasatan lanjut dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) itu juga akan memberi tumpuan kepada jenis penipuan yang dijalankan dan operasi sindiket secara keseluruhan.
“Kami turut menyiasat sama ada sebahagian warga asing yang ditahan sebenarnya merupakan mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan dipaksa bekerja di pusat panggilan terbabit,” katanya.
Kata Zakaria lagi, siasatan turut mendapati sindiket itu dipercayai pernah beroperasi di dua negara lain sebelum berpindah ke Malaysia.
“Berdasarkan maklumat dalam pasport, anggota sindiket pernah berada di Kemboja dan Vietnam, selain dipercayai beroperasi di Kemboja selama kira-kira sembilan bulan sebelum datang ke Malaysia,” jelasnya.
Katanya, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi secara berpindah-randah dari satu negara ke bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa. – UTUSAN











