WASHINGTON: Konflik Iran yang berlarutan selama tujuh bulan semakin menjadi beban kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, apabila kos perang dan kenaikan harga tenaga mula memberi tekanan politik menjelang pilihan raya pertengahan penggal November depan.
Perang itu dianggarkan menelan kos sekitar AS$3 bilion (RM12 bilion) sebulan, manakala ketegangan di sekitar Selat Hormuz terus memberi kesan kepada pasaran tenaga.
Kenaikan harga tenaga memberi tekanan kepada Trump dan Parti Republikan, terutama di negeri-negeri sengit dan bakal menentukan penguasaan Kongres.
Keadaan itu turut mendorong Naib Presiden AS, JD Vance, memainkan peranan lebih besar dalam mempertahankan pendekatan pentadbiran Trump terhadap konflik, termasuk menjelaskan pendirian Washington ketika wawancara eksklusif bersama Reuters.
Vance berusaha meredakan kritikan terhadap cara Trump mengendalikan konflik itu, sambil memberitahu pengundi supaya tidak membiarkan isu berkenaan menghalang mereka daripada menyokong calon Republikan dalam pilihan raya bulan depan.
Vance, yang sebelum ini lantang mengkritik penglibatan AS dalam peperangan di luar negara, kini menjadi antara tokoh utama yang terlibat dalam usaha mencari penyelesaian kepada konflik tersebut.
Dalam wawancara itu, Vance menegaskan Washington masih terbuka kepada perjanjian dengan Teheran, dengan syarat Iran perlu membuat konsesi konkrit berkaitan kapasiti pengayaan nuklearnya.
“Jika anda tidak mahu memiliki senjata nuklear, mengapa anda memerlukan bahan api yang diperkaya sehingga 60 peratus? Jika anda mahu menunjukkan komitmen untuk tidak membina senjata nuklear, jangan hasilkan bahan api yang diperkaya pada tahap tinggi. Itu asas yang perlu dipenuhi,” katanya.
Menurutnya, AS tidak akan menerima sekadar janji atau jaminan untuk mengurangkan aktiviti nuklear pada masa depan, sebaliknya menuntut tindakan nyata daripada Teheran.
Pendirian itu menunjukkan ruang rundingan masih terbuka, namun tuntutan utama Washington terhadap program nuklear Iran kekal sebagai antara perkara yang perlu diselesaikan sebelum sebarang perjanjian dicapai.
Pada masa sama, Vance mengakui Washington masih keliru mengenai pihak yang berkuasa membuat keputusan di Teheran, selepas serangan bersama AS-Israel pada awal perang membunuh pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei.
Vance berkata, AS sedang berunding dengan Presiden Masoud Pezeshkian, dan Menteri Luarnya, Abbas Araghchi, namun tidak jelas sejauh mana kuasa yang dimiliki kedua-dua pemimpin itu dalam struktur pemerintahan Iran.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Iran berkata pegawai AS sememangnya mengetahui siapa rakan sejawat mereka dari Iran serta bagaimana sistem pembuat keputusan negara itu berfungsi.
“Masalah sebenarnya adalah berpunca daripada pendirian yang bercanggah dan mesej bercampur-campur daripada pegawai AS,” kata Esmail Baghaei pada sidang media mingguan.











