BUSAN: Seekor jerung sepanjang tiga meter yang terperangkap di Korea Selatan menarik lebih sejuta pengunjung ke bandar Busan, sekali gus meningkatkan jualan peruncit tempatan dan mencetuskan pertikaian tanda dagangan apabila pihak berkuasa menghalang peniaga mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada fenomena tular itu.
Jerung yang dinamakan sebagai Bukangi itu menjadi sensasi internet dan tarikan pelancong susulan liputan media tempatan mengenai beberapa usaha yang gagal untuk melepaskannya kembali ke laut.
Pihak berkuasa Busan turut mengambil kesempatan daripada populariti haiwan itu dengan melantiknya sebagai duta kehormat bandar tersebut, yang berperanan dalam kempen promosi tempatan.
Dalam tempoh seminggu selepas jerung itu muncul pada pertengahan September, kedai serbaneka berhampiran merekodkan peningkatan jualan sebanyak 76.7 peratus berbanding awal bulan, menurut pengendali rangkaian kedai CU, BFG Retail.
Syarikat itu berkata, jualan produk yang mempunyai kaitan dengan jerung, termasuk aiskrim batang Jaws Bar, turut meningkat 26.5 peratus di seluruh negara.
Pihak berkuasa Busan memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap sebarang usaha mendaftarkan nama Bukangi sebagai tanda dagangan bagi kegunaan komersial persendirian.
“Bukangi sudah berkembang menjadi simbol baharu Busan,” kata Datuk Bandar, Chun Jae-soo, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya akan memastikan nama yang tercipta hasil sokongan orang ramai itu tidak digunakan secara eksklusif oleh mana-mana individu.
Bukangi merupakan contoh terbaharu bagaimana hidupan liar yang tersesat ke kawasan bandar boleh menjadi tarikan pelancong susulan populariti di internet, sekali gus merancakkan ekonomi tempatan.
Pada 2018, seekor itik mandarin yang berasal dari Asia Timur menjadi tular selepas menetap di Central Park, New York, sehingga mencetuskan pengeluaran pelbagai barangan bertemakan haiwan itu.
Pada tahun sama, penduduk London turut teruja dengan kemunculan seekor ikan paus beluga yang dilihat bermain di Sungai Thames.











