Lapangan terbang Aden jadi sasaran dua peluru berpandu Houthi

Lapangan terbang Aden jadi sasaran dua peluru berpandu Houthi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADEN: Lapangan terbang antarabangsa Aden menjadi sasaran serangan dua peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan Houthi di Yemen awal hari ini, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pejabat media Jabatan Keselamatan Aden berkata, kedua-dua peluru berpandu itu menyasarkan lapangan terbang di bandar pelabuhan selatan berkenaan.

Serangan berlaku ketika pertempuran antara Houthi dan kerajaan Yemen kembali memuncak selepas kumpulan itu mara di sepanjang pantai Laut Merah sejak beberapa minggu lalu.

Kerajaan Yemen yang disokong Arab Saudi kemudian melancarkan serangan balas dan berjaya menawan semula beberapa kawasan berhampiran Selat Bab al-Mandab yang strategik, dengan sokongan serangan udara pakatan.

Lapangan terbang Aden merupakan pintu masuk antarabangsa utama bagi kawasan Yemen yang tidak berada di bawah kawalan Houthi.

Dalam perkembangan berkaitan, pakatan diketuai Arab Saudi berkata pihaknya memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik yang dilancarkan Houthi ke arah bandar Khamis Mushait di selatan Arab Saudi awal Rabu.

Televisyen kerajaan Saudi melaporkan, pakatan itu berkata ancaman peluru berpandu berkenaan dilancarkan dari Sanaa, selain wilayah Saada dan Amran yang dikuasai Houthi.

Sementara itu, stesen televisyen Al Masirah yang bersekutu dengan Houthi mendakwa tentera Arab Saudi melancarkan serangan di kawasan yang merangkumi wilayah Ibb dan Taiz di tengah Yemen.

Bagaimanapun, tiada pengesahan segera daripada pakatan diketuai Arab Saudi berhubung dakwaan tersebut.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN