Bilangan ikan haruan liar bertambah di AS, penduduk digesa bunuh serta-merta - Utusan Malaysia

Bilangan ikan haruan liar bertambah di AS, penduduk digesa bunuh serta-merta

BILANGAN ikan haruan semakin bertambah di Amerika. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menggesa orang ramai mengambil tindakan sendiri selepas ikan penceroboh dari Asia yang mampu bergerak di atas daratan dikesan semakin meluas ke negeri-negeri baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ikan northern snakehead atau haruan merupakan pemangsa agresif yang dikenali kerana ke­upayaannya bernafas di udara dan bertahan hidup di luar air selama beberapa hari.

Sejak pertama kali dikesan pada 2022, spesies itu telah dijumpai di kawasan Atlantik Tengah dan Pantai Timur, sebelum pegawai di Missouri mengesahkan penemuan julung kali di negeri berkenaan baru-baru ini. Pegawai Jabatan Pemuliharaan Missouri (MDC) menangkap seekor ikan tersebut di daerah Ore­gon County selepas ia disyaki merebak dari negeri jiran, Arkansas.

“Ini adalah kali pertama kami mengesahkan kehadiran ikan ini di bahagian Missouri dalam Sungai Eleven Point. (Ia) menunjukkan ikan itu bergerak ke Missouri daripada populasi sedia ada di hilir Arkansas,” kata Ekologis Spe­sies Penceroboh MDC, Angela Sokolowski.

Pihak berkuasa memberi amaran keras kepada para pemancing agar tidak melepaskan semula ikan berkenaan ke dalam air sekiranya berjaya ditangkap.

Disebabkan kebolehannya bernafas di udara, tindakan sekadar melepaskan ikan itu di tepi tebing tidak cukup untuk membunuhnya.

Sehubungan itu, MDC mendesak pemancing untuk membunuh ikan tersebut dengan memotong kepalanya, mengeluarkan organ dalaman atau memasukkannya ke dalam beg plastik.

Ikan pemangsa yang kerap digelar ‘Frankenfish’ itu turut dikesan di New York pada Jun lalu. Ia berlaku selepas seorang peman­cing memancing ikan berkenaan di Kolam Lily, Daerah Suffolk.

Pengurus Perikanan Wilayah Jabatan Pemuliharaan Alam Sekitar (DEC) New York, Heidi O’Riordan, memberi amaran bahawa pemangsa berkenaan meng­ancam ekosistem akuatik tempatan.– AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN