KUALA LUMPUR: Sebanyak 17,421 kematian rakyat Malaysia yang direkodkan pada 2024 berpunca daripada penyakit jantung iskemik (IHD), selain masalah paru-paru, strok dan kanser yang turut menjadi antara penyumbang tertinggi kematian dalam tempoh sama.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia sekaligus menunjukkan IHD kekal menjadi punca utama kematian rakyat di negara ini.
Beliau berkata, diabetes dan hipertensi merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada serangan penyakit kardiovaskular berkenaan.
“Rakyat Malaysia hari ini berdepan pandemik NCD (penyakit tidak berjangkit), setelah kita ditinggalkan oleh penyakit berjangkit Covid-19, NCD ini lebih mencabar sebenarnya.
“Penyakit ini merupakan satu ancaman besar kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat. Ini kerana, NCD telah berlaku dalam kalangan golongan muda dan sering tidak disedari oleh penghidapnya kerana lazimnya tidak menunjukkan gejala atau simptom sehingga keadaan agak parah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang meminta kementerian menyatakan strategi untuk menangani peningkatan kes diabetes dan darah tinggi dalam kalangan belia bawah 40 tahun.
Dzulkefly berkata, selain diabetes dan hipertensi, kadar kolesterol yang tinggi dan obesiti juga merupakan faktor utama mendorong kepada seseorang individu menghidap NCD.
Jelasnya, ia dibuktikan melalui dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang menunjukkan anggaran 192,464 orang menghidap diabetes dan 339,853 orang mengalami hipertensi bagi kumpulan umur 18 hingga 29 tahun.
Bagi kumpulan umur 30 hingga 39 tahun pula, Dzulkefly berkata, dapatan laporan itu menganggarkan sebanyak 378,508 orang menghidap diabetes dan 938,865 orang mempunyai penyakit hipertensi.
“Oleh itu, kementerian melaksanakan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan sejak 2022 bagi meningkatkan pengesanan awal faktor risiko NCD dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.
“Sehingga kini, 2,659,841 individu bawah 40 tahun telah disaring, dengan 339,854 dikesan mempunyai tekanan darah tinggi dan 176,415 mempunyai paras glukosa darah tinggi,” katanya. – UTUSAN











