PETALING JAYA: Institut Jantung Negara (IJN) terus memperkukuh kecemerlangan klinikal dan akademiknya apabila Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi, Dr. Suraya Hani Kamsani, menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada University of Adelaide, Australia.
Pencapaian tersebut turut mencipta sejarah apabila Suraya menjadi wanita Malaysia pertama memperoleh PhD dalam bidang elektrofisiologi, iaitu bidang khusus kardiologi yang berkaitan dengan diagnosis serta rawatan gangguan rentak jantung.
Menurut IJN, pencapaian itu bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya mencerminkan usaha institusi berkenaan memperkukuh pembangunan pakar klinikal yang turut mempunyai kepakaran dalam penyelidikan dan inovasi perubatan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Datuk Dr. Shaiful Azmi Yahaya berkata, penguasaan penyelidikan dan akademik penting dalam memastikan pakar perubatan mampu mengikuti perkembangan teknologi serta menghasilkan pendekatan baharu dalam rawatan.
“Keunggulan klinikal hari ini tidak boleh bergantung semata-mata kepada pengalaman dalam bilik rawatan. Ia juga perlu berasaskan penyelidikan, bukti dan pembelajaran berterusan.
“Apabila pakar kita terbabit secara aktif dalam penyelidikan dan pengajian akademik lanjutan, mereka lebih bersedia menilai teknologi baharu, mencabar amalan sedia ada dan membawa kemajuan bermakna ke dalam penjagaan pesakit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kejayaan Suraya turut memberi nilai tambah kepada IJN dan bidang kardiovaskular negara kerana memperlihatkan kepentingan menggabungkan kepakaran klinikal dengan penyelidikan saintifik.
“Kami mahu melahirkan lebih ramai pakar klinikal yang mampu menyumbang kepada pengetahuan saintifik sambil terus memberikan penjagaan kepada pesakit.
“Itulah cara kita memperkukuh keupayaan sebagai pusat jantung nasional dan pada masa sama menyumbang kepada kemajuan penjagaan kardiovaskular,” katanya.
Sementara itu, kepakaran Suraya memberi tumpuan kepada fibrilasi atrium serta teknologi ablasi lanjutan bagi merawat gangguan rentak jantung.
Beliau turut terbabit dalam penyelidikan berkaitan pulsed field ablation (PFA), teknologi baharu dalam rawatan gangguan rentak jantung, termasuk penyelidikan peringkat manusia pertama dalam bidang berkenaan.
Dalam menjalani pengajian PhD, Suraya pada masa sama meneruskan tanggungjawab klinikalnya, termasuk mengendalikan kes gangguan rentak jantung yang kompleks.
Bidang amalan beliau merangkumi prosedur elektrofisiologi lanjutan seperti ablasi kateter serta pemasangan dan pengurusan peranti rentak jantung.
Sementara itu, Suraya berkata, pengajian doktor falsafah berkenaan mengukuhkan hubung kait antara penyelidikan dengan amalan klinikal.
“Bagi saya, mengikuti PhD bukan sekadar mendapatkan satu lagi kelayakan. Penyelidikan mengajar kita untuk bertanya, menilai bukti dengan lebih kritikal dan memahami mengapa kita melakukan sesuatu dalam amalan klinikal.
“Akhirnya, pengetahuan itu perlu kembali kepada pesakit, sama ada melalui pembuatan keputusan yang lebih baik, prosedur lebih selamat atau pendekatan baharu dalam rawatan,” katanya.
Pencapaian itu turut menjadi satu perkembangan penting bagi wanita Malaysia yang menceburi bidang pengkhususan tinggi dalam perubatan kardiovaskular, selain membuka ruang kepada lebih ramai pakar tempatan untuk menyumbang kepada penyelidikan dan inovasi di peringkat antarabangsa.
IJN terus memperkukuh bidang penyelidikan, pendidikan dan pembangunan kepakaran seiring dengan perkhidmatan klinikalnya bagi memastikan kemajuan sains kardiovaskular dapat diterjemahkan kepada peningkatan kualiti rawatan dan penjagaan pesakit. – UTUSAN











