KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memperketat kawalan keselamatan di lapangan terbang menerusi empat langkah segera bagi tempoh enam bulan akan datang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu merangkumi saringan bersasar berasaskan risiko, mengetatkan kawalan kad akses, saringan terhadap kakitangan penerbangan serta peningkatan kehadiran pasukan keselamatan di semua terminal.
Katanya, kedua-dua kementerian telah diamanahkan untuk melaksanakan langkah berkenaan pada 17 syor penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan di pintu masuk antarabangsa negara yang dibahagikan kepada tiga fasa.
“Bagi fasa pertama, tumpuan diberikan kepada langkah jangka pendek untuk tempoh enam bulan bermula Ogos lalu sebelum pelaksanaan fasa seterusnya.
“Langkah pertama ialah pelaksanaan segera saringan bersasar berasaskan risiko dengan memberi tumpuan kepada destinasi penerbangan yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi berdasarkan data dan kes, sama ada yang dilaporkan atau tidak dilaporkan.
“Destinasi yang kerap berlaku insiden penyeludupan, termasuk Indonesia dan beberapa destinasi lain, dikategorikan sebagai berisiko tinggi. Bagi penerbangan keluar (outbound) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pemeriksaan fizikal penumpang akan dilaksanakan secara menyeluruh serta pemeriksaan bagasi 100 peratus,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai status terkini pelaksanaan 17 syor penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan serta pengurusan risiko di KLIA dan pintu masuk antarabangsa negara.
Saifuddin berkata, langkah kedua membabitkan kawalan kad akses di KLIA yang lebih ketat kerana ketika ini, kad akses dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan dengan tempoh sah laku lima tahun melalui proses e-vetting.
Untuk itu, katanya, tempoh sah laku itu dicadangkan dipendekkan kepada dua tahun dan tertakluk kepada pembaharuan.
“Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut mengeluarkan pas harian bagi akses ke kawasan terminal.
“Kawalan akses berkenaan dilihat sebagai antara langkah yang boleh diperketatkan dengan serta-merta,” katanya.
Beliau berkata, langkah ketiga pula membabitkan saringan terhadap kakitangan penerbangan termasuk juruterbang, kru kabin dan kakitangan pengendali darat.
Jelasnya, saringan dadah kini dilaksanakan seawal peringkat pra-pengambilan, selain semakan dengan pihak polis bagi mengesahkan sama ada calon mempunyai rekod atau sebaliknya. Pemeriksaan berkala dan secara rawak turut akan dilaksanakan terhadap kakitangan terbabit.
Langkah itu, katanya, membabitkan kerjasama CAAM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Bagi langkah keempat, beliau berkata, kerajaan akan meningkatkan kehadiran pasukan keselamatan secara menyeluruh (omnipresent) dengan mengerahkan Batalion 19, Pasukan Gerakan Am (PGA). – UTUSAN











