KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbangkan cadangan melarang parti politik daripada menerima sebarang dana dari luar negara, termasuk disalurkan menerusi pihak ketiga di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, skop larangan tersebut merangkumi peringkat Persekutuan serta negeri dan terpakai sepanjang kitaran politik sebelum, semasa mahupun selepas pilihan raya.
“(Ia adalah) bagi memastikan sumber dan penggunaan dana politik dapat dipantau secara berkesan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.
Azalina menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang bertanyakan mekanisme untuk mencegah dana luar negara daripada disalurkan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak ketiga bagi membiayai kempen atau aktiviti politik yang memberi manfaat kepada parti atau calon tertentu, serta sama ada RUU itu akan mewajibkan pendedahan sumber dana dan perbelanjaan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, RUU itu juga dicadangkan untuk mewajibkan dana politik diterima dan digunakan melalui saluran rasmi yang boleh direkodkan, dikesan dan diaudit.
“(Ini) termasuk pelaporan berkala, penyerahan laporan kewangan diaudit secara tahunan, serta pendedahan maklumat pembiayaan politik kepada awam, tertakluk kepada butiran dan parameter yang akan dimuktamadkan semasa proses penggubalan RUU berkenaan,” katanya.
Azalina berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri menganjurkan Konvensyen Pembiayaan Politik 2026 pada 8 September lalu dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).
Konvensyen berkenaan membentangkan dapatan kajian dan mendapatkan pandangan lanjut daripada pihak pemegang taruh.
Berdasarkan dapatan kajian, sesi libat urus dan proses triangulasi, beberapa cadangan dasar disediakan untuk pertimbangan dalam penggubalan RUU berkenaan.
Ini merangkumi skop pemakaian undang-undang, sumber dan had sumbangan, mekanisme penerimaan dana, serta pelaporan, pengauditan, ketelusan, kesalahan dan hukuman, katanya.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, cadangan itu akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) dalam masa terdekat untuk semakan dan maklum balas lanjut sebelum dimuktamadkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri. – UTUSAN











