KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyarankan kerajaan memperketatkan aspek keselamatan semua sekolah seluruh negara untuk memastikan pelajar berada berada dalam persekitaran selamat dan kondusif.
Ketua Pergerakan Wanita UPKO, Mohina Ronnie Sidom berkata, kejadian pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, wajar diberikan perhatian serius oleh kerajaan terutama membabitkan aspek keselamatan sekolah.
“Kejadian itu perlu menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa keselamatan pelajar tidak boleh dipandang ringan.
“Kes kematian membabitkan pelajar sekolah di Negeri Sembilan bulan lalu, selain kes Zara Qairina serta kes tikam mati pelajar perempuan di Selangor pada Oktober tahun lalu menunjukkan keperluan untuk memperkukuh langkah pencegahan dan perlindungan di sekolah,” katanya mengulas perkara itu hari ini.
Menurut beliau, jika perlu, jumlah pengawal keselamatan di sekolah wajar ditambah termasuk penempatan polis bantuan dipertimbangkan selaras dengan usaha meningkatkan tahap keselamatan.
“Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) perlu diperluaskan di kawasan sekolah terutama di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko atau kurang mendapat pengawasan,” katanya.
Mohina berkata, pengawal keselamatan perlu melakukan rondaan dengan lebih kerap memastikan kawasan sekolah mendapat pengawasan sewajarnya.
Katanya, langkah itu bukan bertujuan mewujudkan suasana sekolah yang terlalu terkawal, sebaliknya sebagai langkah pencegahan dan membantu pihak berkuasa jika berlaku sebarang insiden.
Beliau turut menyarankan kempen kesedaran mengenai buli, keganasan, keselamatan diri, kesihatan mental dan kesejahteraan pelajar dipertingkatkan secara berterusan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan kapasiti perkhidmatan kaunseling di sekolah dipertingkatkan menerusi penambahan kaunselor serta penyediaan sesi kaunseling yang lebih mudah diakses pelajar.
Katanya, mekanisme penilaian dan pemantauan berterusan boleh diperkukuh bagi mengenal pasti lebih awal pelajar menunjukkan tanda memerlukan sokongan emosi, psikososial atau kaunseling.
“Proses itu perlu dilaksanakan secara profesional, beretika dan tidak memberikan stigma kepada pelajar. Usaha menjaga keselamatan pelajar perlu membabitkan kerjasama erat kementerian, pihak sekolah, pengawal keselamatan, ibu bapa, kaunselor, polis dan komuniti setempat,” katanya. – UTUSAN











