Sekolah tidak boleh bersendirian tangani isu buli

Sekolah tidak boleh bersendirian tangani isu buli

ROSS RAZEQ ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak didesak supaya menghentikan amalan saling menyalahkan berhubung isu buli di sekolah yang semakin membimbangkan, sebaliknya mula mengambil tindakan bersama demi keselamatan anak-anak.

Ketua Penerangan Briged Negaraku, Ross Razeq Rosli berkata, masalah buli dan kejadian keganasan dalam kalangan pelajar bukan lagi isu siapa yang betul atau salah, tetapi melibatkan masa depan generasi muda negara.

Beliau berkata, pihak sekolah memang mempunyai tanggungjawab besar untuk mendidik murid, namun institusi berkenaan tidak boleh dibiarkan bergerak bersendirian tanpa sokongan daripada pihak lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekolah mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik dan membentuk sahsiah murid. Namun, sekolah tidak boleh bersendirian. Ibu bapa, guru, pihak sekolah, kerajaan, platform digital, masyarakat dan anak-anak sendiri mempunyai peranan yang perlu dilaksanakan.

“Kita perlu berhenti bertanya, ‘Siapa yang salah?’ dan mula bertanya: ‘Apa tindakan kita supaya perkara ini tidak berlaku lagi?’ Kerana pada akhirnya, isu ini bukan sekadar tentang satu sekolah, satu keluarga atau satu kejadian,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Ross Razeq berkata, ibu bapa perlu lebih peka dan memantau pergerakan anak-anak mereka di dalam media sosial dan alam maya.

ADS:D

Katanya, ia termasuk pergaulan dengan rakan sebaya serta kandungan internet yang diakses oleh anak-anak mereka secara berterusan.

“Bagi pihak sekolah pula, perlu menyediakan saluran aduan yang selamat serta memperkemaskan pemantauan di kawasan yang berisiko bagi mengesan dan menangani kes buli dengan segera.

“Guru-guru mesti bertindak sebagai mata dan telinga dengan memberi perhatian kepada sebarang perubahan emosi, kelakuan pelik atau tanda-tanda pemulauan murid di sekolah,” katanya.

Tambahnya, kegagalan mengambil tindakan sekarang hanya akan memberi kesan buruk kepada masa depan negara.

“Kalau kita benar-benar mahu melihat perubahan, semua pihak mesti berani mengambil tanggungjawab masing-masing. Jangan hanya bersuara apabila tragedi berlaku. Bertindaklah sebelum tragedi berlaku.

“Anak-anak hari ini adalah pemimpin negara pada masa hadapan. Jangan kerana kegagalan kita hari ini, mereka yang terpaksa membayar harganya pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN