KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan mengemukakan cadangan kajian semula persempadanan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, parti menerima cadangan supaya kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya itu dilakukan, antaranya membabitkan Kota Belud, Penampang dan Sepanggar.
“Di Kota Belud, cadangan UPKO adalah meminta kerusi Parlimen Kota Belud dibahagi kepada dua kerana sudah mempunyai empat kerusi DUN.
“Parlimen Penampang juga memerlukan pecahan sama dengan UPKO mencadangkan supaya kajian semula persempadanan pilihan raya dibuat untuk menambah satu kerusi parlimen dan dua kerusi DUN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, bagi kawasan Tuaran, UPKO berharap Tuaran dapat mengemukakan cadangan sama ada kawasan itu mahu dikekalkan seperti sekarang atau perlu dikaji semula.
“Saya serahkan perkara itu kepada UPKO Tuaran,” katanya.
Ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Tuaran di Tamparuli, Ewon berkata, kabinet Sabah sebelum ini membincangkan keperluan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya kawasan Parlimen dan DUN di negeri ini.
Katanya, semua parti diminta mengemukakan cadangan kepada Ketua Menteri.
“Saya percaya parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga sedang meneliti perkara ini di peringkat parti,” katanya.
Beliau berkata, kajian semula persempadanan pernah dibincangkan sebelum ini, termasuk dalam Majlis Tindakan Khas Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), apabila bahagian hal ehwal undang-undang, Jabatan Perdana Menteri membentangkan kertas mengenainya.
Bagi Sabah, kali terakhir jumlah kerusi Parlimen ditambah menerusi kajian semula persempadanan pada 2002–2003 yang berkuat kuasa untuk PRU 2004.
Ketika ini, Sabah mempunyai 73 kerusi DUN dan 25 kerusi Parlimen. – UTUSAN










