KUALA LUMPUR: Jumlah tunggakan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah RM10.7 bilion membabitkan 1.16 juta peminjam setakat 31 Ogos, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, KPT memaklumkan, pelbagai inisiatif sudah dan akan diambil, antaranya memperkukuh pengurusan pinjaman dengan menambah baik terma dan syarat pinjaman agar lebih bersasar kepada mereka yang memerlukan berdasarkan kemampuan PTPTN.
“Inisiatif lain ialah meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kutipan bayaran balik pinjaman melalui pelaksanaan penguatkuasaan serta kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan korporat,” katanya.
KPT menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai jumlah terkini hutang peminjam PTPTN serta usaha untuk meningkatkan semula bayaran balik pinjaman itu.
Kementerian turut memaklumkan, PTPTN sentiasa mengalu-alukan peminjam untuk membuat perundingan dan menstrukturkan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan atau membuat penangguhan bayaran balik pinjaman mengikut kelonggaran yang dibenarkan. – UTUSAN











