PETALING JAYA: Mekanisme variasi harga (VOP) perlu diaktifkan semula dengan kadar segera bagi menyelamatkan projek infrastruktur negara daripada terhenti.
Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) berkata, ia khususnya bagi item-item yang mengalami kenaikan harga ketara dan memberi kesan langsung kepada kos pelaksanaan projek.
Menurut persatuan itu, lonjakan kos diesel dan bitumen yang mencecah lebih 40 peratus telah memberikan tekanan kepada aliran tunai serta keupayaan syarikat tempatan.
Katanya, dengan peningkatan kos diesel dan bitumen pada kadar tersebut, kontraktor tidak lagi wajar dibebankan untuk menanggung sepenuhnya kenaikan kos yang berlaku di luar kawalan mereka.
“PKBM berpandangan bahawa satu mekanisme pelarasan harga yang munasabah dan bersesuaian dengan keadaan semasa amat penting bagi memastikan kontraktor mempunyai keupayaan untuk meneruskan serta menyiapkan projek yang telah diamanahkan,” katanya hari ini.
PKBM berkata, langkah itu bukan semata-mata demi kepentingan kontraktor sahaja tetapi turut demi pembangunan negara.
“Ia bagi memastikan projek-projek pembangunan dan infrastruktur kerajaan dapat diteruskan dengan lancar serta disiapkan mengikut spesifikasi, kualiti dan tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, PKBM berharap agar pengaktifan semula VOP serta mekanisme pelarasan harga bagi item-item yang mengalami peningkatan kos ketara akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan Jumaat ini.
“Pengumuman tersebut amat dinantikan oleh pemain industri, khususnya kontraktor bumiputera yang kini berdepan tekanan peningkatan kos dalam melaksanakan projek-projek pembangunan dan infrastruktur.
“PKBM percaya bahawa penyelesaian yang bersesuaian terhadap isu ini bukan sahaja dapat membantu menjamin kelangsungan kontraktor bumiputera, malah dapat memastikan projek pembangunan dan infrastruktur negara terus dilaksanakan dengan lancar tanpa menjejaskan kualiti serta tempoh pelaksanaannya,” katanya. – UTUSAN










