Keanggotaan Majlis Perkhidmatan Parlimen ditentukan 13 Oktober

Keanggotaan Majlis Perkhidmatan Parlimen ditentukan 13 Oktober

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keanggotaan Majlis Perkhidmatan Parlimen yang bertanggungjawab terhadap pelantikan, pengawasan kewangan dan pembangunan anggota Perkhidmatan Parlimen akan ditentukan dalam satu mesyuarat yang dijangka berlangsung pada 13 Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penentuan keanggotaan majlis itu merupakan antara langkah seterusnya dalam pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.

Katanya, akta berkenaan memperuntukkan dua entiti utama iaitu Majlis Perkhidmatan Parlimen yang akan mengendalikan perkhidmatan tersebut dan Perkhidmatan Parlimen itu sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada minggu depan, 13 Oktober, kita akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa yang akan melihat kepada keanggotaan Majlis Perkhidmatan Parlimen.

“Akan ada dua entiti di bawah akta ini. Pertama ialah Majlis Perkhidmatan Parlimen yang akan mengendalikan perkhidmatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Dewan Auditorium AIAC di sini, hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Azalina menerusi rencananya bertajuk Perkhidmatan Parlimen: Memanfaatkan Kebebasan Parlimen demi Rakyat berkata, autonomi pentadbiran Parlimen tidak boleh disalahertikan sebagai kebebasan daripada akauntabiliti.

Beliau berkata, Parlimen tidak berada di atas Perlembagaan Persekutuan manakala pegawai Parlimen tetap tertakluk kepada piawaian profesional dan wang awam perlu diurus dengan kawalan sewajarnya.

Menurutnya, Perkhidmatan Parlimen yang profesional juga perlu mengekalkan sikap berkecuali dalam politik dengan kesetiaannya ditujukan kepada institusi Parlimen dan Perlembagaan, bukannya mana-mana gabungan politik yang membentuk kerajaan.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, Majlis Perkhidmatan Parlimen akan dianggotai kedua-dua Yang di-Pertua Dewan sebagai pengerusi, Timbalan Yang di-Pertua, ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta setiausaha kedua-dua Dewan.

Katanya, wakil-wakil daripada blok kerajaan dan pembangkang turut menganggotai majlis berkenaan dan bertanggungjawab terhadap Perkhidmatan Parlimen.

Beliau berkata, entiti kedua pula ialah Perkhidmatan Parlimen dan selepas majlis berkenaan dibentuk, pegawai kerajaan yang terlibat akan diberikan pilihan sama ada mahu meneruskan perkhidmatan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau beralih ke Perkhidmatan Parlimen.

“Selepas kita mempunyai majlis itu, kita akan membenarkan pegawai kerajaan membuat pilihan sama ada mereka mahu meneruskan perkhidmatan di bawah JPA atau berada di bawah Perkhidmatan Parlimen,” katanya.

Azalina berkata, perkara lebih penting dalam pelaksanaan reformasi itu adalah mewujudkan satu struktur yang membolehkan Parlimen menjalankan fungsinya sendiri tanpa campur tangan kerajaan Persekutuan atau pihak eksekutif.

Katanya, ia termasuk mempunyai Parliamentary Draftsman atau penggubal undang-undang Parlimen serta kemudahan bebas lain bagi menyokong fungsi institusi berkenaan.

“Apa yang lebih penting bagi saya adalah struktur dengan adanya Parliamentary Draftsman serta kemudahan bebas lain yang membolehkan Parlimen beroperasi sendiri tanpa campur tangan kerajaan Persekutuan atau eksekutif.

“Itulah langkah seterusnya yang sedang kita lihat di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, Azalina berkata, Parlimen perlu berkhidmat kepada semua tanpa mengira parti atau gabungan politik yang membentuk kerajaan.

Katanya, komitmen kerajaan ketika ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri adalah memastikan Parlimen menjadi institusi milik rakyat dan tidak memihak kepada kerajaan mahupun pembangkang.

“Tidak kira sama ada anda bersama kerajaan atau pembangkang, Parlimen mesti berkhidmat kepada semua.

“Tidak sepatutnya wujud kecenderungan bahawa Parlimen lebih prokerajaan dan menentang pembangkang. Kita tidak mahu perkara itu,” katanya.

Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan pindaan berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu, lebih tiga dekad selepas Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dimansuhkan pada 1992. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN