JERANTUT: Peneroka tanah rancangan Felda menaruh harapan besar agar Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada enam agenda utama yang menjadi nadi kehidupan komuniti tersebut.
Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, enam perkara tersebut membabitkan peruntukan rumah generasi Felda, pembangunan infrastruktur kawasan Felda, kekalkan subsidi diesel untuk sektor pertanian dan pekebun kecil, subsidi bagi hapus hutang Felda, peruntukan peluang pendapatan tambahan melalui pertanian, ternakan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta penambahbaikan sekolah dan klinik.
Beliau berkata, isu perumahan generasi kedua dan ketiga Felda perlu diberikan perhatian segera oleh kerajaan kerana ramai anak peneroka masih bergelut mendapatkan kediaman sendiri.
“Selain itu, pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, kemudahan asas, sekolah dan klinik amat penting bagi memastikan taraf hidup warga Felda setara dengan masyarakat luar bandar lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Razak menegaskan, subsidi diesel yang dikekalkan akan membantu kelangsungan ekonomi pekebun kecil dan sektor pertanian, manakala langkah menghapus hutang Felda pula akan meringankan beban peneroka yang sudah lama menanggung komitmen tersebut.
Beliau turut menekankan kepentingan peruntukan bagi peluang pendapatan tambahan melalui bantuan pertanian, ternakan dan IKS yang mampu membuka ruang ekonomi baharu kepada peneroka serta generasi muda Felda.
“Pendidikan dan kesihatan adalah asas kesejahteraan komuniti Felda. Justeru, peruntukan kepada sekolah dan klinik perlu diperkukuh agar anak-anak peneroka mendapat pendidikan berkualiti dan warga Felda menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik,” ujarnya.
Menurutnya, sokongan kerajaan melalui Belanjawan 2027 diyakini mampu memperkukuh kedudukan Felda sebagai peneraju sektor pertanian negara serta menjadikan komuniti Felda sebagai model luar bandar yang maju dan berdaya tahan. – UTUSAN











