SHAH ALAM: Kerajaan masih menyalurkan peruntukan kepada penduduk Parlimen Petaling Jaya meskipun bekas Ahli Parlimennya, Lee Chean Chung meletakkan jawatan semalam.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, peruntukan berkenaan disalurkan kepada rakyat menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Katanya, penduduk Petaling Jaya masih boleh mengemukakan permohonan termasuk bantuan dan sumbangan kepada ICU Selangor.
“Ahli Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Petaling Jaya pun boleh tolong rakyat kawasan Petaling Jaya. Jadi tidak perlu risau susulan peletakan jawatan (Chean Chung),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Madani Kita Bersama-Sama Komuniti Kota Anggerik, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Chean Chung juga sudah lama tidak menghadiri mesyuarat serta kongres yang dianjurkan parti.
“Seperti yang Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) katakan semalam, beliau memang sudah lama tidak hadir dalam mesyuarat parti.
“Kita hormati keputusan Chean Chung dan ucap selamat berjaya kepadanya,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Chean Chung meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya tanpa syarat berkuat kuasa semalam susulan PKR menggantung keahliannya selama tiga tahun. – UTUSAN










