Harga barang naik lif, gaji naik tangga? - Utusan Malaysia

Harga barang naik lif, gaji naik tangga?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Bab nak naikkan gaji, kena buat kajian dan adakan banyak perbincangan dulu. Tapi bab naik harga barang, tak payah kajian dan bincang pun, esok terus naik.”

Itu komen seorang lelaki dalam media sosial yang bercakap bukan sebagai seorang pakar atau penganalisis ekonomi tetapi pandangannya walaupun tidak berjela-jela boleh jadi mewakili suara kebanyakan rakyat marhaen di negara ini.

Komen sebegini selalunya spontan. Tidak bersangkut paut dengan siapa sokong siapa dalam parti politik. Ia tentang kelangsungan hidup yang sudah nampak jelas walau dikaji berulang-kali.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lelaki itu memberi reaksi atas kenyataan kenaikan gaji minimum oleh Datuk Seri R. Ramanan baru-baru ini.

Menteri Sumber Manusia itu pula mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang membayangkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 dijangka dinaikkan lagi dan perinciannya bakal diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027 Jumaat depan.

Hakikatnya, apabila kita sentuh saja tentang isu gaji ini, ia sudah pasti menarik ramai pihak untuk bersuara. Ia adalah topik popular sepanjang zaman yang mengundang lebih banyak rasa tidak puas hati berbanding gembira, kalau kita perhatikan.

Macam Datuk Ramanan cakap jugalah, cerita bab gaji ini ramai yang ‘melompat-lompat’ hendak umum atau cadangkan RM2,000, RM2,100 atau RM2,200.

Sebarang kenaikan, kata beliau, sudah tentu perlu dibuat berdasarkan kajian menyeluruh bagi mengelakkan kesan negatif terhadap ekonomi negara.

Apa pun, kita kena akui kadar gaji minimum di negara ini adalah rendah berbanding banyak negara lain di dunia.

Kalau kita toleh ke negara jiran, Singapura, jurang mata wang sahaja sudah membuatkan rakyat kita sanggup beratur panjang di Tambak Johor setiap subuh demi gaji tiga atau empat kali ganda.

Di negara maju Asia Timur, Korea, sistem gaji mereka pula bukan sahaja melindungi pekerja kolar biru, tetapi pelarasan dibuat secara tahunan mengikut industri khusus.

Di Australia juga setiap tahun pada bulan Julai, badan bebas Australia akan melaraskan kadar gaji minimum kebangsaan dan gaji bagi setiap industri berdasarkan prestasi ekonomi terbaharu.

Kita pula bagaimana? Adakah masih dengan formula kaji, tangguh, kaji lagi, dan apabila naik selepas beberapa tahun, nilainya sekadar ‘cukup-cukup syarat’.

Sejak Dasar Gaji Minimum mula diperkenalkan pada tahun 2013 dengan kadar RM900, kita baru sahaja lima kali menaikkan lantai gaji negara sehinggalah mencecah RM1,700 pada tahun lalu.

Bermakna, dalam tempoh 13 tahun pelaksanaan dasar ini, jumlah keseluruhan kenaikan hanyalah RM800. Jika dibahagikan secara rata, purata kenaikannya cuma sekitar RM61 sahaja setahun!

Persoalan lebih besar dan pahit untuk ditelan sehingga ke hari ini, Malaysia masih tiada skim gaji tetap atau lantai gaji khusus untuk golongan graduan dan pekerja profesional di sektor swasta sehinggakan gaji mereka hampir sama dengan yang tiada diploma atau ijazah.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia mendedahkan bahawa kira-kira 4.6 juta pekerja swasta dalam bidang profesional termasuk jurutera, akauntan, dan arkitek masih menerima gaji di bawah RM4,000 sebulan!

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, keadaan itu memperlihatkan realiti pasaran pekerjaan semasa apabila kelayakan akademik dan pengalaman sedekad masih belum menjamin pendapatan yang mampu menampung kos kehidupan dengan selesa.

Apa yang lebih memeritkan, ada dalam kalangan mereka yang sudah memiliki kelulusan ijazah sarjana muda dan pengalaman kerja melebihi 10 tahun!

Bayangkan, belajar selama tiga hingga lima tahun mengikut bidang kursus di pilih di universiti, mengikat perut membayar hutang PTPTN berbelas ribu hingga berpuluh ribu ringgit, tetapi selepas sedekad memerah keringat sebagai ‘profesional’, gajinya masih tersangkut di bawah RM4,000.

Di mana maruah sistem pasaran buruh kita? Sedangkan pemimpin negara ini sering melaungkan slogan mahu menjadi negara berpendapatan tinggi dan hab teknologi maju, tetapi realitinya kita sedang melahirkan golongan ‘miskin bandar berijazah’ dan menjadikan mereka ‘tenaga buruh murah’.

Majikan di sektor swasta pula terus-menerus memberi alasan klise, ‘ekonomi belum stabil’ dan ‘perlu lihat produktiviti’. Peliknya, ada yang mendapat keuntungan berjuta ringgit, tetapi kedekut dalam memberi imbuhan kepada pekerja.

Masalah kos sara hidup tidak akan selesai sekiranya formula kerajaan sekadar menaikkan lantai gaji terendah tanpa ada keberanian politik untuk mengawal harga barang dan kos perkhidmatan secara total. Memantau saja tidak cukup.

Naikkanlah gaji minimum menjadi RM2,000 sekalipun, jika harga sekilo ayam, sekeping roti canai, bil utiliti, dan yang paling parah kadar sewa rumah atau bilik di kawasan bandar dibiarkan melambung tanpa kawalan, rakyat tetap akan sesak nafas. Kenaikan gaji itu akhirnya sekadar lalu di dalam akaun bank sekejap sahaja semasa hari gaji.

Mahu tidak mahu harus diakui rakyat sudah hilang sabar dengan ‘kita sedang mengkaji’. Yang diperlukan sekarang bukan setakat kajian demi kajian tetapi solusi konkrit dan penguatkuasaan yang tegas.

Pertama, kerajaan mesti mewujudkan Skim Gaji Permulaan Profesional Mandatori yang menetapkan lantai gaji graduan berdasarkan kelayakan akademik dan kepakaran, bukannya menyerahkan nasib mereka bulat-bulat kepada belas ihsan pasaran swasta yang tamak.

Langkah Johor yang berani menawarkan gaji premium RM4,000 ke atas untuk graduan baharu melalui inisiatif tertentu sepatutnya dijadikan model nasional. Jika Johor boleh, kenapa seluruh negara tidak boleh?

Kedua, wujudkan Akta Kawalan Sewa Kediaman Bandar terutamanya untuk golongan pekerja muda. Pemilik rumah dan bilik sewa tidak boleh dibiarkan sesuka hati menaikkan kadar sewa setiap kali ada pengumuman kenaikan gaji penjawat awam atau gaji minimum.

Sudah tiba masanya kerajaan bertindak mewajibkan skim gaji yang bermaruah kepada sektor swasta, yang mampu memberikan kehidupan selesa, bukannya sekadar upah ‘cukup-cukup makan’ untuk bertahan hidup sehingga ke hujung bulan.

Bukan juga sekadar memberi saranan dan nasihat kepada rakyat agar berjimat cermat dan menabung, yang sebenarnya sukar kepada pekerja bergaji cukup makan atau tidak cukup makan untuk menelan nasihat itu.

Rakyat mengharapkan semoga ada ‘manis-manis’ tentang pengumuman gaji minimum yang baharu pada pembentangan Belanjawan 2027 nanti.

Mengkaji perkara yang sudah jelas di depan mata, bukan tindakan yang meringankan beban rakyat. Jangan jadi nanti timbul perumpamaan baru, ‘harga barang naik ‘lif’, gaji rakyat naik ‘tangga’.

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN