TEHERAN: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, didakwa merancang operasi rampasan pesawat secara ‘bendera palsu’ melibatkan pesawat Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam usaha mengheret Amerika Syarikat (AS) ke kancah peperangan baharu dengan Iran.
Menurut penyiar Press TV, dakwaan berkenaan berdasarkan sumber serantau yang tidak dinamakan dan mengetahui perkembangan, dengan mendakwa kejadian membabitkan penerbangan flydubai dari Dubai ke Tel Aviv pada Rabu merupakan sebahagian daripada rancangan tersebut.
Sumber itu mendakwa operasi berkenaan dibincangkan dan dimuktamadkan ketika lawatan rahsia Netanyahu ke UAE tiga hari sebelum kejadian penerbangan berkenaan.
Netanyahu didakwa ditemani beberapa pegawai kanan tentera dan perisikan dalam lawatan itu, manakala perbincangan dengan pegawai dari beberapa negara Arab tertumpu kepada usaha merangka operasi yang kemudiannya boleh dikaitkan dengan Iran.
Menurut sumber Press TV, objektif rancangan tersebut adalah untuk menarik Presiden AS, Donald Trump, supaya melancarkan satu lagi perang terhadap Iran.
Sumber sama turut mengaitkan rancangan yang didakwa itu dengan kedudukan politik Netanyahu, dengan mendakwa beliau bimbang terhadap prospek gabungannya dalam pilihan raya parlimen akan datang.
Press TV tidak mendedahkan sumbernya atau mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan dalam laporannya. Tiada kenyataan segera daripada Israel, UAE atau AS berhubung dakwaan tersebut.
Dakwaan itu muncul sehari selepas penerbangan flydubai FZ1073 yang membawa 174 penumpang dari Dubai ke Tel Aviv melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Sultan bin Abdulaziz di bandar Tabuk, Arab Saudi.
Flydubai pada Rabu berkata berlaku pertengkaran di kokpit dan anak kapal berjaya mengawal keadaan sebelum pesawat itu dilencongkan dengan selamat ke Arab Saudi.
Pihak berkuasa lapangan terbang Arab Saudi berkata kapten dan pegawai pertama penerbangan itu cedera dan dibawa ke hospital. Semua penumpang serta anak kapal dilaporkan selamat.
Pusat Keselamatan Pengangkutan Nasional Arab Saudi kemudian membuka siasatan berhubung kejadian itu.
Flydubai kemudiannya mengumumkan bahawa penerbangan dari dan ke Israel digantung sementara siasatan dijalankan, dengan menyatakan langkah itu bagi membolehkan pihak berkuasa menentukan semua fakta berhubung kejadian tersebut.











