Prabowo lantik taikun, tokoh politik sebagai penasihat

Prabowo lantik taikun, tokoh politik sebagai penasihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, melantik 24 anggota baharu Majlis Penasihat Presiden pada Jumaat, membabitkan taikun, ahli politik serta bekas pemimpin Islam berpengaruh.

Pelantikan itu merupakan antara beberapa perubahan dalam barisan pentadbiran Prabowo ketika beliau berdepan kemerosotan kadar sokongan.

Antara yang dilantik ialah jutawan yang juga pengasas Mayapada Group, Dato Sri Tahir, dan pengasas CT Corp, Chairul Tanjung, yang mempunyai kepentingan perniagaan dalam sektor kewangan, media, peruncitan dan hospitaliti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Majlis itu turut dianggotai dua bekas pemimpin Nahdlatul Ulama (NU), pertubuhan Islam terbesar Indonesia.

Empat ahli politik kanan daripada parti gabungan Prabowo turut dilantik, termasuk tiga bekas menteri Kabinet.

Majlis Penasihat Presiden ditubuhkan pada 2006, namun Prabowo tidak melantik anggota baharu sepanjang dua tahun pertama beliau memegang jawatan.

Perubahan itu susulan dua rombakan Kabinet dalam tempoh tiga minggu yang menyaksikan pelantikan menteri kewangan dan menteri luar yang baharu.

“Ini peluang luar biasa untuk berkongsi pengalaman kami,” kata ketua majlis berkenaan, Pratikno, selepas majlis pelantikan.

Penganalisis Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Arya Fernandes, berkata pelantikan baharu itu bertujuan mengukuhkan asas kuasa politik Prabowo ketika sokongannya merosot serta wujud kebimbangan awam dan pelabur terhadap dasar pentadbirannya.

“Cabaran utama adalah memastikan majlis penasihat ini benar-benar memainkan peranan dalam merangka dasar strategik,” katanya.

Badan penasihat itu turut dianggotai Anwar Usman, yang disingkirkan sebagai Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan selepas didapati melanggar etika dalam kes yang membolehkan anak saudaranya, yang juga Naib Presiden ketika ini, Gibran Rakabuming Raka, menjadi pasangan Prabowo dalam pilihan raya 2024 meskipun tidak memenuhi syarat kelayakan.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN