Parti Netanyahu dijangka kalah kepada pembangkang - Utusan Malaysia

Parti Netanyahu dijangka kalah kepada pembangkang

BENJAMIN Netanyahu (kanan) dan Gadi Eisenkot. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Parti pembangkang Israel dijangka memenangi 53 kerusi berban­ding 51 kerusi bagi blok Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, menurut tinjauan pendapat yang diterbitkan pada Jumaat, kurang sebulan sebelum pilihan raya umum pada 27 Oktober.

Tinjauan oleh akhbar Maariv itu turut mengunjurkan 12 kerusi bagi parti-parti Arab dan empat kerusi bagi Parti Reservis pimpinan Yoaz Hendel.

Berdasarkan unjuran itu, blok Netanyahu mahupun pembangkang tidak akan mencapai majoriti 61 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan dalam Knesset atau Parlimen Israel yang mempunyai 120 kerusi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kebanyakan pemimpin pembangkang berkata, mereka tidak akan bergantung kepada sokongan parti-parti Arab untuk membentuk kerajaan, menyebabkan prospek pembentukan gabungan kerajaan kekal tidak menentu.

Maariv berkata, blok Netanya­hu memperoleh dua kerusi ber­banding tinjauan sebelumnya, manakala pembangkang kehilangan dua kerusi, sekali gus mengecilkan jurang antara ke­dua-dua blok kepada dua kerusi.

Dalam blok Netanyahu, parti Likud pimpinannya diunjurkan memenangi 19 kerusi, diikuti parti Jewish Power pimpinan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir dengan sembilan kerusi.

Parti ultra-Ortodoks Shas dan United Torah Judaism masing-masing dijangka memperoleh tujuh kerusi, manakala Religious Zionism pimpinan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich akan memenangi lima kerusi dan parti People of Israel diketuai Ofer Winter mendapat empat kerusi.

Dalam kalangan parti pembangkang, Yashar pimpinan bekas ketua tentera, Gadi Eisenkot dijangka memenangi 21 kerusi.

Parti Together pimpinan Naftali Bennett dijangka mendapat 13 kerusi, Democrat pimpinan Yair Golan  diramalkan menang 10 kerusi dan Yisrael Beytenu pimpinan Avigdor Lieberman akan memperoleh sembilan kerusi.

Parti Joint List pimpinan Yousef Jabareen diunjurkan memperoleh tujuh kerusi, manakala United Arab List pimpinan Mansour Abbas diramal akan mendapat lima kerusi.

Bagi soalan mengenai kesesuaian sebagai perdana menteri, Eisenkot mendahului Netanyahu dengan 47 peratus berbanding 41 peratus, dengan jurang enam mata peratusan.

Bennett mendahului Netanyahu dengan 45 peratus berbanding 41 peratus, manakala Netanyahu mendahului Lieberman dengan 44 peratus berbanding 39 peratus.

Perdana Menteri Israel tidak dipilih secara langsung. Pembentukan kerajaan bergantung kepada keupayaan memperoleh sokongan yang mencukupi di Parlimen. 

Tinjauan itu turut mendapati 67 peratus rakyat Israel bimbang kemungkinan berlakunya insiden keselamatan seumpama serangan 7 Oktober 2023.

Daripada mereka yang ditinjau, 43 peratus menyatakan kebimbangan sederhana manakala 24 peratus sangat bimbang. Sebanyak 26 peratus lagi tidak bimbang, manakala tujuh peratus tidak pasti.

Firma Lazar Research menjalankan tinjauan terhadap 602 orang dewasa Israel. Margin kesilapannya ialah empat mata peratusan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN