PETALING JAYA: Kejayaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang meraih emas keirin Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 ternyata belum cukup untuk mengubah keputusan John Beasley meninggalkan skuad berbasikal trek negara.
Jurulatih berpengalaman itu mengakui kejayaan anak didiknya amat bermakna, namun tetap dengan pendirian untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Malaysia selepas berakhirnya kempen Sukan Asia kali ini.
“Benar, anda betul” kata Beasley ringkas ketika ditanya sama ada kejayaan Azizulhasni mampu mengubah keputusannya untuk terus membimbing skuad negara.
Malah, Beasley mengesahkan beliau bakal meneruskan perjalanan kariernya bersama Jepun, sekali gus membuka lembaran baharu selepas sekian lama menjadi antara watak penting dalam kebangkitan berbasikal trek Malaysia.
Lebih menarik, jurulatih kelahiran Australia itu sudah memasang impian untuk menjadikan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028) sebagai pentas terakhir dalam kariernya.
“Menuju ke LA2028, banyak pengalaman di sana. Bapa saya merupakan sebahagian daripada pasukan Australia ketika kali terakhir Sukan Olimpik dianjurkan di sana.adi ia akan menjadi penamat karier yang terbaik saya di sana nanti,” katanya.
Pengakuan itu hadir selepas Beasley menyaksikan Azizulhasni melakukan henjutan terakhir cukup dramatik untuk menewaskan pencabar dalam perlumbaan keirin, sekali gus menghadiahkan emas kepada Malaysia di Velodrom Izu.
Emas itu mungkin menjadi hadiah perpisahan paling manis daripada Azizulhasni buat jurulatihnya, namun buat Beasley, keputusan untuk membuka lembaran baharu bersama Jepun sudah pun dimuktamadkan.
Kini, Jepun menanti sebagai destinasi seterusnya buat Beasley sebelum LA2028 menjadi impian terakhir dalam perjalanan panjang jurulatih yang sinonim dengan kejayaan berbasikal trek Malaysia.-UTUSAN











