TOKYO: Jepun menaikkan yuran bagi warga asing yang memohon status pemastautin tetap di negara itu sebanyak 20 kali ganda kepada 200,000 yen (RM5,174).
Pemohon status pemastautin tetap kini turut perlu memenuhi syarat baharu berkaitan pendapatan, bayaran pencen dan penguasaan bahasa Jepun.
Barisan panjang pemohon yang beratur dilihat di luar pejabat imigresen awal minggu ini ketika ramai cuba membuat permohonan sebelum kenaikan yuran berkuat kuasa, dengan pejabat imigresen utama Tokyo melaporkan tempoh menunggu melebihi tujuh jam.
Kenaikan yuran itu adalah sebahagian daripada beberapa perubahan terhadap dasar imigresen Jepun di bawah Perdana Menteri, Sanae Takaichi yang bertujuan menguruskan jumlah penduduk asing yang semakin berkembang.
Pada Julai lalu, Jepun melaksanakan kenaikan yuran visa sebanyak lima kali ganda bagi semua warga asing, iaitu kenaikan pertama dalam tempoh 50 tahun. Pihak berkuasa berkata, langkah itu bertujuan mencerminkan inflasi dan turun naik kadar pertukaran mata wang.
Walaupun imigresen kekal sebagai isu sensitif dan dasar Jepun terhadap kemasukan warga asing agak ketat, negara itu semakin bergantung kepada pekerja asing bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja susulan penduduknya yang sudah berusia.
Jumlah penduduk asing di Jepun melepasi 4.12 juta pada akhir 2025, meningkat 9.5 peratus berbanding tahun sebelumnya dan merupakan rekod tertinggi.
Bagaimanapun, peningkatan itu turut mencetuskan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai imigresen dan perubahan sosial.
Takaichi menjadikan pengurusan imigresen sebagai antara keutamaan utama sejak memegang jawatan pada Oktober tahun lalu.
Dalam satu hantaran di X beberapa hari sebelum kenaikan yuran permit pemastautin berkuat kuasa, Takaichi berkata, kerajaan menyedari sesetengah anggota masyarakat mungkin berasa bimbang atau menganggap keadaan itu tidak adil susulan peningkatan jumlah penduduk asing di Jepun.
“Bagi menangani kebimbangan ini, kerajaan sedang berusaha memastikan dasar terhadap warga asing dilaksanakan secara teratur, selain memastikan rakyat Jepun dan penduduk asing dapat hidup dengan selamat dan terjamin,” tulisnya.
Mulai April tahun depan, pemohon status pemastautin tetap akan berdepan syarat yang lebih ketat, termasuk keperluan menguasai asas bahasa Jepun.
Menurut media tempatan, perkembangan itu menyebabkan peningkatan mendadak dalam jumlah pendaftaran di sekolah bahasa Jepun serta bilangan individu yang mendaftar untuk menduduki Ujian Kecekapan Bahasa Jepun.
Pemohon juga perlu mempunyai anggaran faedah pencen yang setara dengan faedah seseorang yang telah menyertai skim pencen pekerja selama 30 tahun.
Bagaimanapun, nilai aset kewangan pemohon boleh dipertimbangkan sekiranya anggaran faedah pencen mereka tidak mencukupi.-AGENSI











