JAKARTA: Strategi memadam kebakaran hutan dan tanah dinilai semula susulan jerebu masih menyelubungi Kota Sampit, Daerah Kotawaringin Timur, Kalimantan Tengah.
Kerajaan daerah Kota Sampit kini terpaksa mengubah strategi dengan memastikan bahawa bara api dipadam sepenuhnya bagi mengelak kebakaran hutan berulang semula.
Ketua daerah itu, Halikinnor berkata, penilaian semula itu dilakukan selepas asap masih kelihatan di kawasan bandar meskipun usaha pemadaman terus dilakukan pasukan gabungan kebakaran hutan.
“Kita menilai sama ada teknik atau kaedah yang kita gunakan untuk pemadaman ini sudah berkesan dan cekap atau tidak berdasarkan hasil yang kita peroleh.
“Ini kerana kita melihat asap di kawasan bandar ini ternyata masih ada,” kata Halikinnor pada Khamis.
Menurutnya, kewujudan asap menjadi petunjuk bahawa usaha menangani kebakaran hutan masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Oleh itu, katanya, kerajaan daerah akan mengubah kaedah pengendalian kebakaran hutan dengan memberi lebih perhatian kepada proses penyejukan selepas api berjaya dipadamkan.
Halikinnor berkata, Lapangan Terbang H Asan Sampit dan aktiviti pengajaran serta pembelajaran di sekolah menjadi antara petunjuk untuk melihat sejauh mana kesan jerebu terhadap aktiviti masyarakat.
“Penanda aras kita ialah pesawat boleh mendarat di lapangan terbang dan kanak-kanak boleh mengikuti pembelajaran secara bersemuka. Itu menjadi penanda aras supaya aktiviti lain dapat berjalan,” katanya.
Halikinnor berkata, jerebu yang menyelubungi Sampit dipercayai berpunca dari kawasan selatan.
“Masalah kita ialah kawasan selatan. Ternyata angin datang dari arah timur. Kedudukannya ialah kawasan selatan kita,” jelasnya.
Kebakaran hutan di Indonesia sebahagian besarnya dikaitkan dengan amalan pembukaan tanah secara tebang dan bakar sehingga menyebabkan kemusnahan litupan hutan yang tahan api serta pengeringan kawasan tanah gambut.
Hampir 900,000 hektar tanah telah terbakar di Indonesia setakat tahun ini, menurut pemantau kebakaran, Nusantara Atlas.
Saiz itu lebih lima kali ganda keluasan Greater London.
Angka kerajaan pula menunjukkan kawasan yang musnah akibat kebakaran berjumlah lebih 202,000 hektar antara Januari hingga Julai. – AGENSI











