56 kes penyeludupan di lapangan terbang sepanjang 2026

56 kes penyeludupan di lapangan terbang sepanjang 2026

Bahagian Pengaduan Awam (BPA)
Sebanyak 56 kes penyeludupan berlaku di lapangan terbang antarabangsa di negara ini sepanjang tahun ini.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 56 kes penyeludupan berlaku di lapangan terbang antarabangsa di negara ini sepanjang tahun ini.

Daripada jumlah itu, 44 membabitkan penyeludupan dadah manakala 12 lagi pemerdagangan hidupan liar yang berjaya dipatahkan Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC), Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan kerjasama agensi penguatkuasaan. 

MAHB berkata, pihaknya sentiasa memandang serius aspek kawalan keselamatan di lapangan terbang. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain melaksanakan tanggungjawab utama untuk melindungi keselamatan lapangan terbang dan penerbangan. 

“AVSEC sentiasa bekerjasama dengan pihak berwajib untuk mengenal pasti dan melaporkan sebarang aktiviti terlarang atau mencurigakan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

MAHB memaklumkan, kerjasama itu melibatkan agensi-agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan Jabatan Imigresen (JIM). 

“Selain itu, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merangkumi perkongsian maklumat, saringan bersasar dan operasi bersepadu,” katanya. 

Sebelum ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilaporkan terus menjadi lubuk sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dalam skala besar. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, satu cubaan menyeludup bunga ganja bernilai RM33.4 juta ke Eropah melalui KLIA berjaya ditumpaskan polis dengan rampasan 418 kilogram (kg) dadah dalam 10 kes berasingan.

Rampasan membabitkan 671 plastik ketulan dadah itu membawa kepada penahanan 11 warga asing dan seorang orang tengah warga tempatan.

Mengulas mengenai teknologi dan langkah pengawasan terkini, MAHB berkata, mereka telah memperoleh 10 unit pengimbas 360 darjah untuk ditempatkan di KLIA dan beberapa lapangan terbang antarabangsa terpilih.

Menurutnya, penggunaan peralatan berkenaan akan meningkatkan ketepatan pengesanan, selain melengkapi sistem keselamatan sedia ada. 

“MAHB akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua  agensi berkaitan, termasuk menyokong pelaksanaan saringan bersasar berdasarkan penilaian risiko. 

“Bagi memastikan kawalan keselamatan di  lapangan terbang kekal menyeluruh dan berkesan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×