IP tempatan perlu dihubung dengan pemain global untuk dikomersialkan - Utusan Malaysia

IP tempatan perlu dihubung dengan pemain global untuk dikomersialkan

S. Jai Shankar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi, industri tempatan dan pemain antarabangsa bagi memastikan harta intelek (IP) yang dihasilkan dapat dikomersialkan serta menembusi pasaran global.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pemecutan Eksport, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), S. Jai Shankar berkata, penciptaan IP tidak semestinya menjamin teknologi berkenaan berjaya dikomersialkan.

Katanya, antara cabaran utama ialah keupayaan industri tempatan untuk menggunakan teknologi yang dihasilkan, terutama apabila teknologi berkenaan lebih maju berbanding tahap industri sedia ada.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penciptaan IP tidak semestinya bermakna IP tersebut berjaya dikomersialkan.

“Untuk mengkomersialkan IP, kita perlu mempunyai industri tempatan yang mampu menggunakan teknologi tersebut. Kadangkala, teknologi yang dihasilkan terlalu maju berbanding tahap industri tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2027 di sini.

Menurut beliau, Malaysia mempunyai dua peringkat penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global, iaitu menyokong syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di Malaysia dan membangunkan keupayaan syarikat tempatan untuk mengeksport produk serta perkhidmatan sendiri.

Katanya, penglibatan dalam rantaian bekalan MNC memberi manfaat kepada syarikat tempatan melalui peningkatan kemahiran dan pengalaman, selain Malaysia mempunyai industri sedia ada yang boleh menyokong sektor perubatan seperti sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Penglibatan syarikat Malaysia dalam menyokong MNC yang beroperasi di Malaysia berlaku dengan baik kerana MNC yang kukuh membantu meningkatkan kemahiran dan pengalaman syarikat tempatan.

“Malaysia juga mempunyai industri sedia ada yang boleh menyokong sektor perubatan, contohnya sektor E&E,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, penglibatan syarikat tempatan perlu diperkukuh dengan menghubungkan teknologi dan IP tempatan kepada pemain antarabangsa yang mempunyai keupayaan untuk menggunakannya.

“Jadi, kita mahu menghubungkan IP tersebut dengan rakan antarabangsa yang mampu menggunakannya.

“Sebab itu platform seperti IHW penting untuk menghubungkan institusi pengajian tinggi, pengilang, penyedia perkhidmatan dan pemain antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan penting bagi meningkatkan peluang komersial syarikat tempatan dalam sektor penjagaan kesihatan, selain memperluas penyertaan mereka dalam rantaian bekalan global.

“Meskipun eksport peranti perubatan Malaysia terus berkembang, sebahagian besar sumbangannya masih datang daripada MNC.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Matrade terus berusaha meningkatkan kandungan tempatan dalam industri berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×