Residensi Siswa di UM mampu tampung lebih 40,000 pelajar

Residensi Siswa di UM mampu tampung lebih 40,000 pelajar

ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Projek Residensi Siswa di Universiti Malaya (UM) mampu menampung lebih 40,000 pelajar menerusi empat fasa pembangunan bagi memenuhi keperluan penginapan dengan keutamaan kepada golongan kurang berkemampuan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, setiap fasa melibatkan penginapan untuk 10,000 pelajar dan pembinaannya akan dilaksanakan secara berperingkat.

Menurut beliau, projek itu merupakan antara model pendekatan bagi mempercepat penyediaan tempat tinggal kepada pelajar yang semakin menghadapi masalah penginapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bukan hanya di UM tetapi juga termasuk di semua universiti yang kita lihat ada keperluan-keperluan itu (kediaman di universiti).

“Keperluan setiap universiti akan diteliti manakala keperluan asas yang mendesak juga perlu dipenuhi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran ILMUcode di Universiti Malaya, hari ini.

Menurut Zambry, projek Residensi Siswa berkenaan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan maklumat terperinci mengenainya akan diumumkan kemudian.

Mengulas mengenai keutamaan penginapan, Zambry berkata, pelajar daripada golongan B40 akan terus diberikan perhatian.

“Bagi pelajar-pelajar yang masuk ke universiti, ke UM dalam kalangan B40, kita akan sentiasa berikan keutamaan kepada mereka.

“Pada masa sama, terdapat juga model penginapan bagi pelajar daripada keluarga berkemampuan yang sanggup membayar sendiri. Ruang akan dibuka untuk golongan tersebut, manakala kadar bayaran akan diumumkan kemudian,” katanya.

Bagaimanapun, Zambry berkata, tujuan utama penyediaan penginapan itu bukan semata-mata untuk menjana pendapatan.

“Yang paling mustahak adalah bukan tujuan semata-mata kita hendak buat duit, tetapi bagaimana kita nak menyelesaikan masalah tempat tinggal, penginapan untuk pelajar-pelajar.

“Ia terutama melibatkan pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan mereka yang tidak ada kemampuan, yang datang daripada jauh untuk tinggal di universiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×