KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung persembahan teater tidak senononh dalam satu pertandingan seni di universiti terbabit.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, laporan perkara itu telah diterima pihaknya daripada UM.
Katanya, pelajar terlibat berkemungkinan terlalu ghairah menonjolkan elemen seni sehingga terlepas pandang aspek sensitiviti budaya dan norma masyarakat tempatan.
“Saya kira (kejadian) lebih kepada kekhilafan dan mungkin mereka teruja untuk mempamerkan seni itu sehingga mungkin terkhilaf dari segi sensitiviti.
“Apa juga yang dilakukan, pihak universiti perlu sentiasa sensitif dan bersama sebab kita lihat berkarya anak muda kadang mereka teruja dan tiada niat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) KPT dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Beliau menasihatkan semua pihak, termasuk institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan memberi bimbingan dan nasihat kepada pelajar agar lebih peka terhadap batasan dalam berkarya.
Jelasnya, walaupun kreativiti dalam kalangan anak muda perlu digalakkan, ia tetap perlu selari dengan nilai budaya ketimuran yang menjadi teras masyarakat negara ini.
“Anak-anak muda ini berkarya tanpa niat tidak baik, tetapi kerana keterujaan. Jadi, tanggungjawab kita untuk menasihati dan membimbing supaya sensitiviti itu dapat dijaga,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan pelajar agar tidak menyalahgunakan platform seni sehingga mencetuskan kegelisahan awam atau menyinggung norma masyarakat.
Khamis lalu, UM dilaporkan berkata, teater yang dipersembahkan itu dikesan jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang ditetapkan.
UM memaklumkan, hasil penelitian mendapati adegan yang dipertontonkan adalah tidak selaras dengan skrip asal yang sudah melalui proses tapisan dan jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang ditetapkan.
Sebelum itu, satu persembahan teater yang didakwa berlaku di sebuah dewan di UM menjadi tular apabila memaparkan adegan ghairah ‘di atas katil’ dan netizen mendakwa, ia berunsur ‘soft porn’ dan tidak sepatutnya berlaku di sebuah institusi pengajian yang terbilang itu.
Berikutan itu, UM menegaskan pihaknya mengambil maklum mengenai segala kebimbangan yang dibangkitkan dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program atau peraturan yang ditetapkan.- UTUSAN










