PUTRAJAYA: Proses pemeriksaan dan temu bual melibatkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bersama warga asing yang tular di media sosial hanya melibatkan pasukan operasi AKPS dan Aviation Securitu (AVSEC) KLIA sahaja.
Ketua Pengarah Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, proses itu tidak melibatkan mana-mana agensi penguatkuasaan yang lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, pada 28 September, ketika mereka sedang melaksanakan tinjauan bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi AKPS di KLIA dalam menerima pengunjung sempena perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026, hujung minggu ini.
“Selepas itu, AKPS dan AVSEC turut melaksanakan penguatkuasaan terhad kepada sindiket ulat warga asing.
“Kita telah menahan seorang sindiket ulat warga asing dan kemudian kita bawa ke dalam bilik pemeriksaan
bagasi kepunyaan AVSEC dan ingin saya tegaskan di sini bahawa penguatkuasaan itu hanya melibatkan pegawai AKPS dan FSEC,” katanya.
Tambah Mohd. Shuhaily, ketika temu bual itu, tanpa disedari, muncul dua individu yang tidak dikenali sedang merakam perbuatannya dan pasukannya.
Bagaimanapun, katanya, mereka telah diarahkan memadam rakaman yang dibuat.
“Seperti mana tuan-tuan dapat lihat dalam klip tersebut saya telah memberikan amaran yang paling tegas, setegas-tegasnya sebagai seorang pegawai polis yang telah diamanahkan dan biasa memberi arahan sekeras ataupun setegas-tegasnya,” katanya.
“Selepas itu, laporan polis dibuat ke atas saya pada 29 September manakala laporan kedua, dua hari selepas kejadian yang kemudiannya disusuli dengan tular klip video rakaman di media sosial.
“Itu yang menyebabkan AKPS terpaksa membuat satu laporan polis untuk mengatakan bahawa ada usaha mungkin untuk mencemar nama ataupun imej AKPS secara amnya dan saya khususnya,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai motif di sebalik penyebaran video yang dipetik daripada rakaman CCTV KLIA T1 itu, katanya, perkara berkenaan wajar diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
“Bagi pihak polis siasat yang lebih lanjut. Rakaman yang dibuat itu pun saya tak tahulah tujuan apa pada asalnya.
“Klip yang tular itu ia bukan datang daripada sumber asli. Ianya diambil daripada satu lagi peranti untuk ditularkan. Dalam perkataan lain, siapakah mereka? Apakah tujuan mereka?,” katanya.
Terdahulu, menerusi video tular, individu mirip Mohd. Shuhaily kelihatan memarahi individu lain di satu lokasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pada masa sama, tular salinan dakwaan individu yang mendakwa dikasari Mohd Shuhaily. – UTUSAN











